KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Sentimen berhubung calon yang akan bertanding mewakili parti politik masing-masing semakin hangat dibangkitkan biarpun tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya akan diketahui esok.
Ini susulan beberapa ahli politik hari ini telah menyuarakan hasrat untuk mewakili parti masing-masing dalam gelanggang pilihan raya berkenaan, tidak kurang juga yang menarik diri untuk memberi peluang kepada muka baharu.
Di MELAKA, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Jasin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh berkata beliau bersedia bertanding di kerusi Parlimen Jasin sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun jika sebaliknya berlaku, beliau berkata akan tetap membantu calon BN di kawasan tersebut.
Di TERENGGANU, penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid berkata beliau akur sekiranya tidak dicalonkan, namun masih berhasrat mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama empat penggal, jika diberikan peluang.
"Dah empat penggal saya di sini (Hulu Terengganu) menabur khidmat bakti, kami beri bantuan kepada semua rakyat yang memerlukan tak kira apa parti.
“Lagi pun saya percaya rakyat sekarang undi untuk calon, bukan lihat parti. Semua yang mereka nak undi dah ada dalam kepala mereka," kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu itu.
Bagaimanapun di PERAK, Ketua UMNO Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad mengumumkan untuk menarik diri daripada dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu pada PRU15 bagi memberi peluang kepada muka baharu.
Menurutnya keputusan itu telah disuarakan kepada pucuk pimpinan UMNO negeri sebelum ini termasuk Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Sebelum ini sudah menjadi tradisi sekiranya seorang ketua bahagian maka dia akan mendapat tempat sebagai calon namun saya ingin pecahkan tradisi itu dan menolak diangkat menjadi calon pada PRU15 tanpa ada paksaan serta tekanan mana-mana pihak.
"Saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon untuk DUN Pengkalan Baharu kerana saya ingin memudahkan pimpinan selain tidak mahu ada perebutan dan perpecahan demi memastikan kemenangan BN di DUN Pengkalan Baharu," katanya.
Sementara itu di JOHOR, Pengerusi BN negeri Datuk Hasni Mohammad dalam hantaran di Facebook yakin bahawa rakyat akan mengundi parti politik yang mereka sukai.
"Adalah satu yang biasa apabila Pakatan Harapan (PH) atau pun DAP membuat tuduhan kepada UMNO. Saya percaya, jika rakyat tidak mahu keluar dan mengundi PH atau DAP, maka UMNO tidak dapat buat apa-apa. Itu juga ialah pilihan rakyat," katanya.
Hasni mengulas dakwaan Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong menerusi sebuah portal yang mengatakan BN cuba mencipta naratif ‘mengundi itu membuang masa’, ‘tiada guna kita keluar mengundi’ dan ‘tiada harapan lagi untuk Malaysia’.
Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr Adham Baba pula berkata jentera parti sudah bersedia menangkis segala naratif, tohmahan dan tuduhan terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini.
Adham berkata jentera di peringkat sayap Puteri dan Pemuda juga telah bersedia memainkan peranan untuk mendekati pengundi muda khususnya menggunakan platform media sosial.
Di SABAH, Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa kira-kira 1.8 juta rakyat Malaysia yang menetap di luar negara mendaftar sebagai pengundi pos bagi membolehkan mereka untuk melaksanakan hak mereka pada PRU15.
“Hanya kerana anda tinggal di luar Malaysia, ia tidak bermakna anda tidak boleh mengambil bahagian dalam pengundian. Ini adalah mengenai masa depan negara kita dan masa depan anak-anak kita. Undi adalah penting,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, bahagian-bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) dinasihatkan supaya mengambil inisiatif untuk meneliti secara menyeluruh daftar pemilih bagi menentukan identiti pengundi baharu, berikutan kebimbangan pengundi tidak sah yang muncul daripada pendaftaran automatik.
Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata bahagian itu perlu meneliti secara proaktif daftar pemilih bagi nama-nama yang mungkin asing bagi mereka.
“Kumpul dan laporkan dapatan ini kepada ibu pejabat parti, jadi kita mempunyai asas untuk meneruskan tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial