KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) buat julung kalinya akan menganjurkan Forum Kepimpinan Wanita bersama pemimpin dalam parti politik daripada kerajaan dan pembangkang.
Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata forum sehari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu antaranya akan membincangkan perkara berkaitan penglibatan golongan wanita dalam politik serta sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau berkata forum itu dijangka diadakan pada minggu depan, namun belum menetapkan tarikh.
“Forum ini bukan berkenaan saya, bukan mengenai Bersatu, bukan berkaitan wanita Perikatan Nasional (PN), tetapi forum ini berhubung wanita di Malaysia kerana apabila kita tengok Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022 berkaitan kepimpinan, wanita adalah paling rendah.
“Tambahan pula apabila sebut berkenaan PRU15, inilah masanya kerana kita mahu lebih ramai calon terdiri daripada wanita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Wanita Dunia 2023 di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rina berkongsi mengenai kedudukan Malaysia dalam MGGI 2022 dengan negara ini berada di tangga 103 daripada 146 negara.
Menurutnya, bagi sub indeks Penglibatan Ekonomi, Malaysia mencatatkan skor 0.638 sementara Pencapaian Pendidikan (0.995), Kesihatan (0.972) dan Penglibatan Politik (0.102).
“Selain itu, berdasarkan sumber Forum Ekonomi Dunia, Indeks Jurang Gender Global, kedudukan Malaysia dalam kalangan negara ASEAN berada di tangga kesembilan pada 2022 berbanding tangga ke-10 pada 2021,” katanya dan menambah secara umumnya, skor Malaysia tidak mempunyai perubahan ketara.
Beliau berkata skor yang diperoleh Malaysia itu juga akan dibincangkan dalam forum berkenaan kerana jurang gender yang ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuat keputusan merupakan satu indikator yang perlu diberi perhatian serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial