AM

JMKM Siswa bermula Oktober

19/09/2022 08:47 PM

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Siswa akan diperkenalkan bermula Oktober ini di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi meringankan beban pelajar sempena pembukaan semula universiti selepas cuti semester.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata sebagai permulaan, JMKM Siswa akan dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada minggu pertama Oktober sebelum diperluaskan kepada 20 kampus IPTA seluruh negara.

Beliau yang juga ahli Pasukan Jihad Tangani Inflasi berkata format pelaksanaan JMKM Siswa adalah sama dengan JMKM sedia ada iaitu jualan dibuat dua hari setiap minggu sehingga 31 Dis ini.

“Barangan yang akan diberi tumpuan untuk dijual ialah alat tulis, salinan dokumen, perkhidmatan cetakan, tambahan prabayar data telekomunikasi, buku dan makanan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi ke-18 hari ini.

Noh berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diberi tanggungjawab bagi pelaksanaan JMKM Siswa dengan kerjasama kedai koperasi, pusat keusahawanan di IPT, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Pada 15 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Kemuncak Semarak Patriotik IPT 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur mengumumkan JMKM akan diperluaskan di IPTA dan institut pengajian tinggi swasta bermula Oktober tahun ini.

Program JMKM bermula pertengahan Ogos lepas adalah program yang memberi akses kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan barangan pada harga lebih murah setiap minggu.

Noh berkata sehingga 11 Sept lepas, program JMKM telah dilaksanakan di 80.1 peratus Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 600 DUN seluruh negara dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang bulan depan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan