AM

30 pelajar generasi Felda terima biasiswa penuh, kerjasama dengan Les’ Copaque Animation Academy

19/09/2022 08:02 PM

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Seramai 30 orang pelajar daripada generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima tajaan biasiswa penuh pengajian peringkat diploma hasil kerjasama strategik antara Felda menerusi Yayasan Felda dan Les' Copaque Animation Academy (LCAA).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Felda Muhammad Fadzli Hasan berkata kerjasama julung kali bersama LCAA itu adalah bagi menaja kumpulan itu dalam bidang Teknologi Animedia 3D dan Perniagaan Kreatif selama tiga tahun atau enam semester.

Katanya, tahun ini sejumlah RM500,000 diperuntukkan untuk menaja belia daripada generasi baharu Felda yang dipilih untuk mengikuti program tersebut dan akan memulakan sesi pengajian esok.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Akademik Yayasan Felda berkata kesemua pelajar itu juga diberi pilihan sama ada ingin meneruskan pengajian dalam program Diploma Teknologi Animedia 3D berteraskan pembikinan produk animasi 3D atau Diploma Perniagaan Kreatif yang memberi fokus kepada pengurusan perniagaan dan selok-belok industri kreatif.

“Kita berharap generasi Felda yang terpilih satu hari nanti secara tidak langsung dapat mengupas serba sedikit mengenai masyarakat Felda menerusi siri rancangan animasi terkenal Upin Ipin yang diterbitkan Les’ Copaque Production.

“Felda ini adalah contoh masyarakat luar bandar yang jumlah terkininya kira-kira 3 juta orang. Kita harap mereka (yang) terpilih boleh menterjemahkan karya mereka lebih jujur dalam animasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tajaan biasiswa penuh pengajian peringkat diploma di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LCAA Burhanuddin Md Radzi dan Pengurus Besar Yayasan Felda Datuk Mohd Banuri Aris.

Sementara itu, Burhanuddin berkata inisiatif tersebut adalah saranan dan mendapat sokongan penuh Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh dengan aspirasi beliau untuk meningkatkan mobiliti sosial warga Felda menerusi pendidikan berkualiti. 

“Kami berbesar hati dan mengalu-alukan jalinan kerjasama ini. Apatah lagi apabila kerjasama ini dipupuk bersama pertubuhan kebajikan yang bernaung di bawah agensi kerajaan yang amat berprestij seperti Felda,” katanya.

Beliau berharap kerjasama itu akan memberi peluang kepada mereka yang terlibat khususnya generasi baharu Felda untuk mengembangkan potensi dengan menceburi kerjaya dalam sektor industri yang sedang pesat membangun dalam tanah air, seperti industri pembuatan animasi dan industri perfileman.

“Gabungan pengalaman praktikal dan teori akan membekalkan pelajar dengan kemahiran yang dapat menyediakan mereka dengan kehendak dan keperluan industri. 

“LCAA telah merekrut pensyarah yang akan menyediakan pendidikan berkelas dunia bagi pelajar untuk memajukan kerjaya mereka dalam industri kreatif sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan