SUKAN

MAD rangka pelan 10 tahun dodgeball dari Sukma ke Sukan Asia

14/09/2022 05:53 PM

SEPANG, 14 Sept (Bernama) -- Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) menetapkan tempoh 10 tahun untuk memperkembangkan sukan itu sehingga dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) sehingga ke peringkat Sukan SEA dan Sukan Asia.

Presiden MAD Datuk V. Radhakrishnan berkata pihaknya akan merangka lebih banyak strategi untuk mempromosi dodgeball bagi mencapai sasaran tersebut, selain menambah minat rakyat di negara ini terhadap sukan tersebut.

“Kita telah sampai ke peringkat dodgeball diiktiraf di peringkat antarabangsa dan semua orang menghormati Malaysia. Kita perlu mempromosikan sukan ini dengan lebih besar, membawanya ke tahap yang lebih tinggi.

“Sekarang kita ada di sekolah, universiti dan kolej, harapan saya satu hari nanti dodgeball berada di Sukma. Jika kita menjalankan tugas dengan betul dan secara profesional, saya pasti Majlis Sukan Negara akan mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada sukan dodgeball,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) selepas menyambut kepulangan skuad negara yang muncul juara pada Kejohanan Dodgeball Dunia di Kanada, hari ini.

Radhakrishnan berkata Malaysia sebagai kuasa besar sukan itu di rantau ini, telah memulakan inisiatif membangunkan dodgeball dengan mewujudkan kerjasama dengan negara-negara jiran.

“Kami sudah berbincang dengan negara jiran lain untuk memulakan liga mereka kerana Malaysia adalah peneraju dodgeball di Asia Tenggara. Kami akan menyokong negara lain. Saya telah berbincang dengan Indonesia, Thailand dan Singapura tentang cara memulakan liga mereka dan mendapatkan lebih ramai orang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berharap kejayaan pasukan dodgeball lelaki negara merangkul gelaran dunia menjadi pembakar semangat untuk menarik pembabitan lebih ramai lagi atlet berkecimpung dalam sukan berkenaan.

“Walaupun kita tidak memberi wang yang banyak kepada dodgeball, mereka mampu menyerlah di peringkat dunia dan saya rasa kita harus menjadikan MAD sebagai contoh persatuan sukan. Saya berharap skuad dodgeball akan terus cemerlang dan ulangi kejayaan ini serta mencipta lebih banyak lagi gelaran juara pada kejohanan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan