EKONOMI

PKS minyak dan gas perlukan lagi bantuan -- MPRC

13/09/2022 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC) menggesa kerajaan menimbang untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya yang terlibat dalam industri minyak dan gas termasuk memberikan pinjaman mudah kepada mereka dalam Bajet 2023. 

Ketua Operasi MPRC Mustafa Akbar Reza berkata industri minyak dan gas, perkhidmatan dan peralatan (OGSE) berdepan dengan cabaran kecairan di tengah-tengah harga minyak mentah yang tinggi. 

"Syarikat mahu meneruskan kelangsungan hidup. Industri OGSE baru sahaja keluar daripada kemelut lebihan minyak dengan harga minyak jatuh begitu rendah, kemudiannya pandemik COVID-19 pula melanda dan tiba-tiba penawaran dan permintaan turun naik tidak menentu. 

"Mereka mahu membina semula dan meneruskan kelangsungan hidup. Jika kerajaan boleh menawarkan bantuan, syarikat-syarikat akan berusaha mengakses bantuan kerajaan untuk melangkaui kelangsungan hidup kepada pertumbuhan,” katanya dalam temu bual bersama media terpilih, di sini, hari ini.  

MPRC juga memohon pembiayaan untuk membina kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri OGSE agar pemain industri mempunyai medan untuk melaksanakan aktiviti seperti pengujian prototaip, kalibrasi dan simulasi. 

"Pada masa ini agak sukar untuk melakukannya. Ia berselerak dan mahal,” kata Mustafa.

Menurutnya, bagi syarikat besar mereka kemungkinan mempunyai kaedah untuk mengakses pembiayaan bagi membiayai amalan lestari dan mematuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus namun lain pula dengan PKS kerana mereka memerlukan bantuan seperti kewangan dan pensijilan untuk dapat mematuhi amalan tersebut. 

Mustafa berkata industri OGSE juga perlu menambah kemahiran tenaga kerjanya untuk menampung perubahan pesat dalam industri, terutamanya ketika ia bergerak ke arah peralihan tenaga.

Mengenai langkah Petronas merundingkan semula kontrak dengan pembekal dan kontraktor, beliau berkata peranan MPRC adalah untuk berbincang dengan pemegang kepentingan minyak dan gas bagi menimbangkan PKS agar mereka mendapat peluang dan margin yang lebih baik seperti terma kontrak yang sewajarnya.  

Menurutnya, MPRC telah mengadakan perbincangan dengan pemegang kepentingan ekosistem OGSE sejak pertengahan tahun ini bagi membantu syarikat OGSE menyesuaikan diri dengan amalan kemampanan.

Beliau berkata, perbincangan yang dipengerusikan oleh Unit Perancang Ekonomi itu telah mengenal pasti kemampanan tiga tahun bagi sektor tersebut dan ini akan disusuli dengan pelancaran Pelan Kemampanan OGSE Nasional (NOSP) pada akhir tahun ini. 

 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan