AM

Jelajah Kasih santuni penduduk Kampung Orang Asli Kolam Air Bangkong

21/08/2022 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Lebih 500 penduduk Orang Asli disantuni oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui program Jelajah Kasih Prihatin Rakyat di Perkampungan Orang Asli Kolam Air Bangkong, Dengkil, dekat, sini hari ini.

Pelbagai aktiviti dan perkhidmatan diadakan secara kerjasama dalam program tersebut oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Antaranya pendaftaran subsidi, ujian mamogram, klinik kesihatan lelaki dan sesi lawatan ke rumah serta taklimat kesihatan lelaki dan wanita.

LPPKN, dalam kenyataan, memaklumkan bahawa Jelajah Kasih Prihatin Rakyat merupakan sebahagian daripada Kempen Kasih Keluarga Malaysia yang diperkenalkan untuk menggerakkan kembali penerapan nilai murni dalam institusi keluarga.

“Program ini juga bertujuan menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan komuniti ekoran penularan pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun, Ketua, Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Pengerusi LPPKN, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Dalam pada itu, Rina, dalam kenyataan yang sama, berkata melalui program tersebut, warganegara dan penduduk tetap wanita dalam negara yang berumur 30 hingga 65 tahun dalam kalangan golongan B40 dan M40 boleh mendapatkan rawatan saringan kanser serviks (HPV DNA) secara percuma di semua Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN seluruh Malaysia.

“Selain itu, ujian mamogram turut diberikan secara percuma kepada golongan wanita dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM10,000,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan