KUALA NERUS, 2 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu menjangka lebih banyak koperasi baharu akan didaftarkan di negeri itu susulan perkembangan ekonomi yang semakin baik selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Timbalan Pengarah SKM Terengganu Mohd Solehin Ramli @ Yusof berkata sehingga kini terdapat 773 buah koperasi telah didaftarkan di negeri ini dengan jumlah keahliannya sebanyak 246,333 orang.
Beliau berkata jumlah kesemua aset koperasi tersebut bernilai RM680 juta dan nilai perniagaan koperasi pula ialah RM360 juta.
"Ini menunjukkan sambutan yang baik oleh masyarakat terhadap konsep berkoperasi, lebih-lebih lagi apabila proses penubuhannya telah dipermudahkan, misalnya dalam Akta Koperasi dulu syarat untuk menubuhkan koperasi ialah 50 orang tetapi sekarang dengan 20 orang, koperasi boleh ditubuhkan.
"Tambahan pula, pelbagai promosi yang menggalakkan telah digubal oleh kerajaan seperti bantuan pembangunan SKM, program transformasi ekonomi gerakan koperasi, tabung bantuan kecemasan koperasi, program penubuhan koperasi prihatin rakyat, program pembiayaan intervensi pemulihan ekonomi koperasi dan bantuan pembangunan koperasi kerajaan negeri Terengganu," katanya.
Mohd Solehin berkata demikian pada sesi perkongsian Sambutan 100 Tahun Koperasi di program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Menurutnya, SKM juga akan memperhebatkan gerakan koperasi di Terengganu kerana ia berpotensi menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negara seperti yang berlaku di negara-negara maju.
"Selain tujuan utama untuk meningkatkan taraf kehidupan ahlinya, gerakan koperasi turut memainkan peranan dalam agenda pembasmian kemiskinan dan pengagihan kekayaan negara.
"Gerakan koperasi juga memikul tanggungjawab dalam agenda transformasi ekonomi negara. Sehubungan itu, gerakan koperasi tidak boleh lagi beroperasi secara konvensional tetapi perlu lebih kreatif dan berinovasi untuk bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif," katanya.
Dalam pada itu beliau juga berharap orang ramai berkunjung ke Jelajah AKM Terengganu bagi mendapatkan pelbagai maklumat lanjut berkaitan gerakan koperasi di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial