EKONOMI

MPOB, EF meterai memorandum perjanjian perkasa pekebun kecil dalam SPOC

02/06/2022 05:58 PM

KINABATANGAN, 2 Jun (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Earthworm Foundation (EF) memeterai satu memorandum perjanjian bagi memperkasakan pekebun kecil persendirian dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) berkaitan aspek pengurusan alam sekitar dan hidupan liar serta melaksanakan amalan pertanian baik (GAP) seperti digariskan dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata MPOB mempunyai kepakaran dalam membantu memperkasakan pekebun kecil melalui insentif integrasi tanaman dan ternakan dengan sawit, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan khidmat nasihat sawit secara percuma kepada pekebun kecil persendirian.

“Permeteraian memorandum perjanjian ini merupakan antara usaha MPOB untuk melahirkan pekebun kecil berwawasan dan mempunyai daya saing yang tinggi.

"Memorandum perjanjian ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama penting antara MPOB dan EF," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian tersebut, di sini, hari ini.

Ahmad Parveez berkata EF, yang sebelum ini dikenali sebagai 'The Forest Trust', telah aktif di lapangan sejak 20 tahun lepas merentasi lima benua dalam membantu pihak kilang dan ladang mengeluarkan produk sawit yang mesra alam serta meningkatkan taraf hidup pekebun.

Katanya, sejak 2010, EF mula aktif di Malaysia dengan menyokong aktiviti kilang penapis, kilang sawit, ladang dan pekebun kecil sawit dalam usaha memperkasakan amalan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran minyak sawit.

Beliau berkata pemeteraian perjanjian tersebut juga adalah antara usaha MPOB bagi meningkatkan kesedaran dan mengembangkan daya saing pekebun kecil serta meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan minyak sawit lestari, memandangkan pekebun kecil menyumbang 28 peratus daripada pengeluaran minyak sawit negara.

Ahmad Parveez berkata usaha sama antara MPOB dan EF akan menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang sekali gus akan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.

"Skop kerjasama turut memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak dan seterusnya memanfaatkan industri sawit dan pelbagai sektor lain," tambahnya.

Sehingga 30 April 2022, MPOB telah membantu mempersijilkan seramai 167,549 pekebun kecil persendirian di seluruh Malaysia atau 76.62 peratus, manakala bagi negeri Sabah pula seramai 25,691 (81.31 peratus) pekebun kecil telah dipersijilkan dengan MSPO.

Di Kinabatangan, terdapat tiga SPOC iaitu S19, S20 dan S21, yang merangkumi kawasan Bukit Garam, Batu Puteh dan Sukau di mana seramai 2,589 orang pekebun kecil dengan keluasan 15,993.6 hektar telah dipersijilkan MSPO.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan