KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Key Alliance Group Bhd (KAG) mengumumkan bahawa subsidiarinya, Agrocloud Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dengan Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Bhd (Koperasi Felcra) dalam pembangunan dan pelaksanaan Sistem Maklumat Padi di ladang Felcra Bhd Seberang Perak di Kg Gajah, Perak.
KAG dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan tersebut akan meningkatkan hasil penanaman padi melalui teknologi Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan Sistem Sokongan Keputusan melalui Sistem Maklumat Beras.
Ia juga bertujuan bagi menggunakan kaedah pertanian yang moden serta bersifat mekanikal, selain meneroka teknik tani paling sesuai yang akan ditentukan kemudian.
"Menerusi MoU itu, Koperasi Felcra akan bertindak sebagai penyelaras cadangan kerjasama dan membantu memudahkan keperluan bagi pelaksanaan Sistem Maklumat Beras.
"Manakala, Agrocloud akan menyediakan Koperasi Felcra dengan teknologi maklumat, peralatan, platform termasuk latihan berkaitan untuk cadangan kerjasama ini," katanya.
MoU itu berkuat kuasa pada 1 Jun 2022 dan relevan sehingga 12 bulan akan datang.
MoU itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham atau struktur pegangan saham KAG, namun ia dijangka mempunyai sumbangan positif kepada pendapatan sesaham masa depan kumpulan, aset bersih sesaham dan penggearan.
Koperasi Felcra adalah sebuah pertubuhan yang diperbadankan di Malaysia serta berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan tujuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat yang mengambil bahagian melalui penubuhan entiti komersial dan perniagaan yang berorientasikan kepada kebajikan serta pemerkasaan ahlinya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial