AM

Berita-berita ringkas Dewan Negara: 28 Mac

28/03/2022 01:55 PM

MAFI SALUR BANTUAN LEBIH RM90 JUTA KEPADA PETANI TERJEJAS BANJIR

 

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Lebih RM90 juta bantuan telah disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada petani terjejas akibat banjir, Dewan Negara diberitahu hari ini. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bantuan yang disalurkan meliputi input pertanian, peralatan dan mesin pertanian.

“Bantuan yang diberikan MAFI bukan dalam bentuk kewangan (sebaliknya) meliputi input pertanian, peralatan, mesin dan bantuan lain yang bersesuaian, sebanyak RM90.6 juta telah disalurkan setakat ini.

“(Manakala bagi) kelulusan pembangunan semula projek agro makanan (PPSA) 2022 sejumlah RM20.4 juta diperuntukkan dan telah diluluskan melibatkan 1,821 penerima yang terkesan banjir,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Ronald menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson Renganathan yang ingin tahu bantuan dihulurkan kerajaan kepada pekebun kecil terkesan akibat perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

 

LEBIH 180,000 PELARIAN, PEMOHON SUAKA DI MALAYSIA SETAKAT FEBRUARI LEPAS

 

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Seramai 181,805 pelarian dan pemohon suaka berada di negara ini setakat Februari lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid.

Ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 132,772 orang adalah pelarian manakala 49,033 individu merupakan pemohon suaka.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang ingin tahu status pengiktirafan dan kebenaran untuk bekerja di Malaysia yang diberi kepada pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

-- BERNAMA

 

 

PENAGIH DADAH ADA MASALAH KESIHATAN MENTAL DIBERI RAWATAN PSIKIATRI

 

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Penagih dadah yang mempunyai masalah kesihatan mental akan diberi rawatan oleh pakar psikiatri sebelum menjalani rawatan pemulihan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin berkata langkah itu bagi memastikan individu yang mendapat rawatan pemulihan menjadi masyarakat lebih produktif dan berfungsi kepada masyarakat.

“AADK menerima semua klien yang ada permasalahan dadah dan penilaian akan dibuat untuk menentukan tahap kebergantungan terhadap dadah. Skor yang diperoleh klien akan digunakan untuk menentukan program rawatan yang bersesuaian untuk kepulihan klien itu.

“Sekiranya klien mempunyai masalah mental yang tidak stabil, pihak AADK akan mendapatkan rawatan psikiatri sebelum mereka menjalani pemulihan dengan AADK,” katanya di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Fadhlina Sidek yang ingin tahu tindakan dan inisiatif kementerian bagi memastikan penagih dadah dirawat, dipulihkan serta diberikan intervensi kesihatan mental

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan