AM

JKM lulus bantuan bulanan kepada ibu Diwiyana

24/02/2022 12:02 PM

IPOH, 24 Feb  -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan bulanan penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar berjumlah RM500 mulai bulan depan kepada ibu Diwiyana Mohammed yang terlantar sakit dan lumpuh seperti tular baru-baru ini.

Unit Perhubungan Awam JKM dalam satu kenyataan berkata Diwiyana selaku pengadu telah diberi kelulusan serta merta di bawah skim Tabung Bantuan Segera RM300 sekali gus untuk ibunya.

"Merujuk kepada rekod penerima bantuan JKM, pengadu pernah menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar RM300 sebulan mulai April 2017 daripada JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur namun bantuan ditamatkan kerana pengadu tidak ditemui semasa proses kaji semula kes oleh JKM. 

"Proses kaji semula dilaksanakan kepada semua penerima bantuan dalam tempoh 12 bulan selepas menerima bantuan bagi tujuan menilai semula kelayakan penerima," menurut kenyataan itu, yang dikeluarkan susulan tular satu klip video di media sosial berkaitan permohonan bantuan Diwiyana untuk ibunya.

Kenyataan itu memaklumkan, hasil siasatan segera mendapati pengadu yang kini menetap di Teluk Intan hanya berpendapatan terhad serta perlu menanggung kos penjagaan ibunya berusia 75 tahun yang lumpuh dan terlantar. 

Sejak Selasa lepas, tular sebuah video berdurasi tiga minit empat saat menerusi akaun TikTok @dyanamohammed3 yang memaparkan kekecewaan Diwiyana terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak dan Lembaga Zakat Perak kerana mendakwa hampir dua tahun berusaha mendapatkan bantuan untuk ibunya yang terlantar sakit namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan