EKONOMI

Anugerah Diraja Kewangan Islam pelawa pencalonan peringkat global

04/12/2021 01:17 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis  -- Anugerah Diraja Kewangan Islam mempelawa pencalonan peringkat global untuk anugerah berprestij itu,  Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

BNM dan SC dalam satu kenyataan bersama berkata anugerah itu mengiktiraf individu cemerlang dan terbilang yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kemajuan industri perkhidmatan kewangan Islam.

Inisiatif Anugerah Diraja Kewangan Islam itu dianjurkan bersama oleh BNM dan SC.

Menurut kenyataan itu, tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh mantan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam akan memilih individu yang layak menerima Anugerah Diraja keenam itu.

“Salah satu kriteria utama pemilihan Anugerah Diraja itu ialah sumbangan berbentuk rintis dan inovatif individu berkenaan terhadap kewangan Islam. Calon berkenaan juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang dan mendapat pengiktirafan yang meluas dalam industri perkhidmatan kewangan Islam,” katanya.

Sempena Anugerah Diraja tersebut, jawatankuasa penganjur mengumumkan penambahan dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak.

“Anugerah Pemimpin Baharu itu mengiktiraf dan meraikan bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan penting terhadap kemajuan idea-idea inovatif dalam kewangan Islam, ia terbuka kepada individu yang berusia 40 tahun ke bawah yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam bidang kewangan Islam yang menjadi kepakaran mereka,” katanya.

Bagi Anugerah Cabaran Berimpak pula, ia bertujuan memberikan pengiktirafan yang lebih besar terhadap penyelesaian digital dan inovatif berdasarkan prinsip kewangan Islam atau penggerak kewangan Islam.

Bidang-bidang ini berupaya meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas dari segi kewangan di seluruh dunia.

“Anugerah Cabaran Berimpak itu yang diadakan buat pertama kali dianjurkan dengan kerjasama The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub in Malaysia sebagai rakan teknikal dan disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Maklumat lanjut mengenai semua kategori di atas termasuk pencalonan peringkat global dan permohonan untuk menyertai Anugerah Cabaran Berimpak boleh didapati dalam talian melalui http://www.theroyalaward.com.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada RAIFSecretariat@seccom.com.my.  

Tarikh tutup bagi semua pencalonan dan permohonon untuk menyertai Anugerah Cabaran Berimpak adalah pada 25 Mac, 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan