AM

Pencemaran sumber air: KASA guna pendekatan struktural dan bukan struktural

21/09/2021 09:47 PM

PUTRAJAYA, 21 Sept -- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggunakan pendekatan struktural dan bukan struktural sebagai strategi menangani isu pencemaran sumber air, kata Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi pendekatan struktural, katanya KASA menerusi agensi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mewujudkan pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang menekankan empat aspek iaitu memastikan kecukupan air, kebersihan air, kekurangan risiko banjir dan kelestarian alam sekitar.

“JPS juga menerbitkan Manual Saliran Mesra Alam pada 2000 yang merupakan kaedah kawalan di peringkat punca, melibatkan kawalan kuantiti (banjir kilat) dan kawalan kualiti (pencemaran), yang menjadi syarat kelulusan suatu pembangunan melibatkan infrastruktur saliran oleh semua agensi persekutuan, negeri dan swasta”, katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Dialog Air Malaysia-Belanda ke-4 2021 secara maya hari ini, bersempena dengan ‘Malaysia International Water Convention 2021’ (MIWC 2021).

Beliau berkata bagi pendekatan bukan struktural pula, KASA memberi penekanan kepada pembudayaan kesedaran dan perubahan sikap masyarakat terhadap penjagaan sumber air, berdasarkan prinsip ‘nature-based solution’.

“Pendekatan ini turut melibatkan kebersamaan masyarakat secara lebih menyeluruh. Contohnya, KASA sedang membina dan menyelenggara denai sungai yang kini telah menjangkau 200 kilometer (km) dan berusaha mencapai sasaran 5,000km menjelang tahun 2025,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata KASA akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, menggunakan peranti teknologi terkini, serta memerkasa aktiviti sukarelawan sebagai langkah memulihara alam sekitar dan sumber air.

Beliau berkata Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 juga akan dipinda sebagai langkah punitif atau langkah akhir ke atas penjenayah alam sekitar.

Pindaan kedua-dua akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2022 dengan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara akan dinaikkan setimpal dengan kesan buruknya ke atas kehidupan rakyat dan kerugian ekonomi negara, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan