KUALA LUMPUR, 13 Sept -- Ketika kita seronok membeli-belah di rumah melalui platform e-dagang Lazada Malaysia (Lazada), penghantar barangan barisan hadapan pula bertungkus-lumus demi memastikan bungkusan dihantar dengan selamat kepada pelanggan.
Lazada dalam kenyataan hari ini berkata penghantar barangan keluar bekerja setiap hari menghadapi risiko jangkitan COVID-19, dalam hujan dan panas demi memastikan rakyat Malaysia menerima barangan keperluan harian dengan selamat.
“Walaupun pandemik masih berlarutan, para petugas barisan hadapan logistik terus gigih berusaha memastikan pesanan dihantar ke depan pintu sambil kita terus menjaga keselamatan dan membeli dari rumah.
“Syarikat-syarikat seperti Lazada perlu terus menambah baik persekitaran di tempat kerja dan melaksanakan protokol keselamatan yang ketat, seperti sanitasi harian di gudang dan hab logistik, serta kaedah penghantaran tanpa sentuhan untuk memberi perlindungan dan jaminan kepada pasukan petugas barisan hadapan yang berdedikasi sepanjang tempoh pandemik.
“Berkat kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan, mereka sebenarnya wira-wira tidak didendang dalam suasana semasa yang mencabar ini,” menurut Lazada.
Bagi petugas logistik Lazada, Shairul Rizal, 47, lazimnya bekerja 12 jam sehari membawa dan menghantar beratus-ratus barangan ke enam kawasan berbeza setiap hari bermula waktu pagi apabila lori membawa masuk muatan barangan pertama sehingga tengah hari, kemudian bersambung pada 1 tengah hari apabila lori kedua membawa barangan untuk dihantar sehingga pukul 7 malam.
“Dalam kempen mega Lazada seperti 9.9 Biggest Brands Sale, saya mungkin memandu di jalan raya selama lebih 12 jam untuk memenuhi lonjakan pesanan. Walaupun ini bermakna bekerja lebih keras berbanding hari biasa, saya rasa bersemangat dan memang menantikan kempen berkenaan kerana mendapat ganjaran komisen lebih tinggi yang boleh saya gunakan untuk belanja keluarga,” katanya.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata beliau sentiasa berhati-hati ketika membuat penghantaran dan mengurangkan sentuhan fizikal dengan orang lain, selain memakai pelitup muka dan sanitasi yang kerap demi melindungi diri serta keluarganya daripada COVID-19.
Beliau juga bersyukur dengan prosedur penghantaran tanpa sentuhan yang ditetapkan sepanjang pandemik ini selain protokol kesihatan dan keselamatan wajib yang dilaksanakan di tempat kerja.
Sementara itu, Pengurus Hab di pusat logistik Petaling Jaya Azmi Othman yang bekerja antara 15 ke 18 jam sehari, bertanggungjawab memimpin dan mengutamakan pembangunan pasukannya yang dianggap seperti satu keluarga.
Beliau juga menghargai kegigihan mereka yang menyabung nyawa menempuh cuaca yang tidak menentu demi menghantar bungkusan.
“Tugas utama saya ialah memastikan pasukan saya terlindung semasa bekerja dan pelanggan menerima bungkusan mereka dengan selamat. Tiada waktu kerja biasa dalam bidang ini. Setiap hari memang berbeza.
“Oleh itu, saya cuba melakukan apa sahaja yang termampu untuk mendorong dan membina kejayaan pasukan saya kerana saya rasa gembira melihat mereka mencapai potensi maksimum dan memenuhi impian masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial