KOTA BHARU, 12 Jun -- Program Jelajah Vaksinasi COVID-19 Parlimen Ketereh 'Mari Pakat Cocok' di Pasar Melor hari ini mendapat sambutan menggalakan, sehingga ada penduduk sanggup datang dari jauh untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.
Pesara guru Md Yusof Abdullah, 62, dari Kampung Melor berkata, dia hadir pada kaunter bergerak yang disediakan Umno di situ, yang turut menyediakan borang vaksinasi dengan harapan akan dapat giliran suntikan vaksin lebih awal.
“Saya sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera namun sehingga kini belum terima tarikh giliran vaksinasi. Saya tidak takut untuk disuntik...kita sebagai rakyat perlu mengambil vaksin kerana ia ibarat pelindung kepada luka yang kita balut,” katanya yang mempunyai tiga orang anak serta tiga cucu.
Sementara itu, Badrul Hisyam Yaacob, 50, dari Kampung Sri Kulim Melor berkata, memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat, orang ramai perlu sama-sama berusaha memutuskan rantaian penyakit berjangkit dengan mengambil vaksin.
“Menerusi kaunter pendaftaran bergerak seperti ini, ia memudahkan kerja orang kampung terutama yang tidak mempunyai telefon pintar yang sukar mendaftar secara dalam talian, selain mempercepatkan proses pengambilan vaksin,” katanya.
Bagi Nafisah Abd Ghani, 66, dia sanggup memandu bersendirian sejauh 15 kilometer dari rumahnya di Binjai ke Pasar Melor, selepas mendapat hebahan mengenai program itu.
“Sebelum ini, anak-anak sudah beberapa kali mengingatkan saya supaya mendaftar suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera, namun disebabkan tinggal bersendirian, saya sering kali terlupa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial