SUKAN

Aidil Sharin kagum semangat pemain KDA FC tidak mudah putus asa

24/04/2021 10:49 AM

ALOR SETAR, 24 April -- Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak kagum dengan semangat ditampilkan barisan pemainnya yang tidak mudah putus asa sebelum mencatat kemenangan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Aidil Sharin turut memuji beberapa pemain muda yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam membantu mengubah corak serangan pasukan khususnya pada penghujung babak kedua permainan.

“Syukur dan kredit perlu diberikan kepada pemain yang tidak berputus asa mencipta dan memanfaatkan peluang melakukan jaringan, bukan mudah sebenarnya berdepan KL City FC. Saya rasakan prestasi pemain sudah kembali ke tahap terbaik.

“Pemain muda, Mohammad Fayadh dan Fadzrul Danel yang dimasukkan terbukti banyak membantu pasukan dan sukar dipercayai hanya beberapa minit di penghujung babak perlawanan kita berjaya mendapat tiga mata,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Beliau berharap kesungguhan dan corak permainan terpuji yang dipamerkan pada aksi malam tadi dapat terus diterjemahkan pada perlawanan seterusnya.

Pada perlawanan malam tadi, KDA FC bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk meraih tiga mata berharga selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas KL City FC.

 Penyerang import KDA FC, Tchetche Kipre muncul wira apabila menjaringkan dua gol pada masa kecederaan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Bojan Hodak memuji anak buahnya yang mampu memberi tentangan sengit kepada KDA FC di tempat lawan sebelum tumpas pada minit akhir permainan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan