AM

Pemandu treler terjunam dalam tasik ditemukan lemas

23/04/2021 07:16 PM

GUA MUSANG, 23 APRIL -- Pemandu treler yang terjunam ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Gua Musang-Lojing, petang semalam, ditemukan mati lemas tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata Kamarulzaman Sallehuddin, 33, dari Padang Rengas, Perak ditemukan tersepit di dalam treler yang membawa muatan balak itu, selepas treler itu diangkat naik ke darat menggunakan dua kren, pukul 12.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata kemalangan semalam berlaku semasa Kamarulzaman dikatakan sedang dalam perjalanan membawa kira-kira 50 batang balak ke pusat timbang balak di Kampung Kuala Betis.

“Operasi mencari dan menyelamat telah bermula sejak petang semalam namun dia gagal ditemui kerana tasik itu dalam, selain halangan kayu balak yang masih berada di kawasan treler yang terbalik,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

“Pagi tadi, dua kren digunakan untuk mengangkat bahagian kepala treler yang berada di dalam tasik itu, sebelum mayat ditemukan di dalam kenderaan itu, dan berjaya dikeluarkan pada pukul 2.30 petang tadi,” tambahnya.

Sik berkata mayat telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan