POLITIK

Dua pengawal peribadi dibelasah majikan dijadikan "keluarga angkat" Bersatu Klang

23/04/2021 10:40 AM

SHAH ALAM, 23 April -- Bersatu Klang akan menjadikan dua lelaki yang dibelasah majikan kerana berpuasa sebagai “keluarga angkat” bagi memastikan kebajikan kedua-dua bekas pengawal peribadi itu terbela sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari berkata pihaknya juga akan melantik panel peguam bagi membantu kedua-dua mangsa memfailkan saman menuntut ganti rugi daripada pelaku.

“Kedua-duanya mengalami trauma bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Pada masa sama, beliau berkata Bersatu Selangor mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak pendakwa raya yang telah mengambil tindakan undang-undang terhadap suspek.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan masa kini tidak bertolak ansur terhadap perlakuan jenayah yang mencabar hak dan kebebasan beragama apatah lagi terhadap agama Islam yang termaktub sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Bersatu Selangor turut menyampaikan bantuan RM3,000 kepada seorang daripada mangsa bagi membantunya menampung perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan.

“Kami juga akan berusaha mencari pekerjaan yang sesuai untuk kedua-dua mereka secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan