JOHOR BAHRU, 19 April -- Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) menahan dua bot bersama 12 pemancing tempatan awal hari ini, kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam kawasan Taman Laut Sultan Iskandar, dekat Mersing.
Pengarah Perikanan Negeri Johor Noraishah Hashim berkata kedua-dua bot kelas C itu ditahan Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, JPNJ yang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan timur negeri ini.
“Bot pertama ditahan pada kira-kira 3 pagi di kedudukan 0.5 batu nautika dari pantai Pulau Aur, Mersing. Pemeriksaan mendapati bot itu dinaiki seorang tekong berumur 62 tahun bersama enam pemancing berumur antara 49 dan 75 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noraishah berkata bot kedua pula ditahan kira-kira pada waktu sama di kedudukan 0.6 batu nautika dari pantai Pulau Aur dengan pemeriksaan menemukan seorang tekong berumur 56 tahun, awak-awak berumur 48 tahun serta enam pemancing berumur antara 34 dan 58 tahun.
Beliau berkata mengambil, mengalih atau memiliki haiwan akuatik dalam kawasan taman laut merupakan kesalahan mengikut Seksyen 43 Akta Perikanan 1985.
Beliau berkata kesemua lelaki terbabit dan sejumlah peralatan menangkap ikan yang dirampas kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 43 (1) Akta Perikanan 1985.
Noraishah sehubungan itu menasihati semua pihak khususnya nelayan supaya mematuhi syarat lesen supaya tidak menjejaskan sumber perikanan negara.
“Jabatan Perikanan Malaysia sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan pengurusan sumber perikanan mampan dan berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial