AM

Video promosi judi, sindiket bukan ahli FDAM

18/04/2021 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 April  -- Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) tidak menemukan nama sindiket yang mempromosi iklan perjudian secara dalam talian dalam rekod keahlian FDAM.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata pihaknya akan bertindak mengikut perlembagaan FDAM tanpa mengganggu siasatan polis jika mereka ada dalam senarai keahlian persatuan itu.

Beliau berpandangan insiden video itu juga telah memalitkan onar kepada karyawan filem terdiri daripada pengarah, kru produksi dan pelakon yang sentiasa menjaga integriti sebagai penggiat industri kreatif. 

“FDAM menyelar pihak bertanggungjawab yang sanggup mencemar kesucian Ramadan dan Syawal serta mengguris perasaan umat Islam dengan penerbitan video itu,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Ahmad menjelaskan sebagai persatuan yang mengawal selia aktiviti pengarahan dan integriti pengarah, FDAM sentiasa memastikan ahlinya mematuhi etika seperti yang digariskan dalam perlembagaan.

Katanya, sesiapa yang didapati melanggar etika akan dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib FDAM untuk diambil tindakan.

Beliau juga berharap semua karyawan agar sentiasa mematuhi perlembagaan persatuan masing-masing dan undang-undang negara selain meminta setiap pemimpin persatuan untuk memantau ahlinya agar nama baik persatuan dan industri perfileman Malaysia sentiasa terpelihara.

Sejak Jumaat, tular dalam media sosial mengenai penyiaran iklan yang mengajak umat Islam di dalam negara berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Aidilfitri.

Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 13 individu termasuk penerbit dan pelakon bagi membantu siasatan pembikinan kedua-dua video yang mempromosikan judi dalam talian itu.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan