BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 EKONOMI

Aplikasi DIBIZ, platform untuk pekebun kecil dan peniaga sawit jalankan perniagaan secara digital

16/04/2021 11:49 AM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

SEREMBAN, 16 April  -- Syarikat pembangunan perisian untuk industri sawit, DIBIZ Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan aplikasi DIBIZ, platform digital untuk pekebun kecil dan peniaga sawit yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan lancar serta lebih telus dan cepat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, U.R. Unnithan berkata aplikasi ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pekebun kecil dan peniaga tanpa melibatkan sebarang kos dan boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store untuk pengguna Android dan App Store bagi IOS.

Katanya antara kelebihan aplikasi tersebut adalah setiap pekebun dapat menerima maklumat mengenai penggredan tandan buah segar (TBS) daripada peniaga atau kilang serta-merta selain dapat melihat harga TBS secara harian.

“Aplikasi tersebut juga dilengkapi lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia. Pekebun juga boleh mendapatkan harga terkini TBS di laman web Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menerusi aplikasi tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain itu, pekebun juga boleh menyimpan semua rekod iaitu maklumat penuaian, nota pengiriman, nota jambatan timbang, penggredan TBS secara digital di aplikasi itu yang boleh diakses setiap masa.

“Aplikasi ini dapat membantu peniaga antaranya dari segi menyelesaikan masalah dalam penjadualan, penuaian, pembajaan dan pengangkutan di samping memantau kualiti TBS bagi setiap pekebun kecil,” katanya.

Katanya aplikasi ini juga dapat mengelak kecurian TBS selain menarik minat generasi muda di Felda untuk terlibat dalam penanaman kelapa sawit.

Mengenai perancangan masa depan, Unnithan berkata terdapat penambahan ciri-ciri dalam aplikasi tersebut antaranya mengintegrasikan sistem pembayaran supaya peniaga dapat membayar pekebun kecil melalui aplikasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan