AM

794 pelajar terima komputer percuma di bawah program komputer e-pembelajaran

13/04/2021 05:13 PM

GEORGE TOWN, 13 April -- Seramai 794 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang menerima komputer peribadi secara percuma di bawah Program Komputer E-Pembelajaran yang dilaksanakan kerajaan negeri itu.

Pengerusi pasukan khas program berkenaan Chong Eng berkata sejak ditubuhkan tahun lepas, kira-kira 1,000 permohonan telah dikemukakan.

"Pasukan khas kami telah menyediakan komputer terpakai kepada 794 pelajar sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang di bawah program ini manakala baki pemohon akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu untuk kumpulan pemohon tahun ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada Mei tahun lepas, kerajaan negeri Pulau Pinang menubuhkan sebuah pasukan khas Program Komputer E-Pembelajaran bagi membangunkan sektor pendidikan dalam norma baharu.

Chong berkata pasukan khas menjangkakan akan menerima kira-kira 1,500 permohonan tahun ini, dengan keutamaan akan diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah dengan ibu atau bapa tunggal dan sebilangan besar adik beradik atau pelajar yang cemerlang dalam pelajaran mereka.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM150,000 daripada Keysight Technologies Malaysia kepada Penang Science Cluster (PSC), serta penyerahan lebih 70 unit tablet terpakai, komputer dan peranti untuk pelajar kurang berkemampuan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan