SUKAN

Pembinaan Kompleks Silat Negara perlu diteruskan - Presiden Pesaka

13/04/2021 04:22 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 13 April -- Pembinaan Kompleks Silat Negara dilaporkan bernilai RM160 juta yang sudah diluluskan sebelum ini perlu diteruskan demi mewujudkan sebuah mercu tanda melambangkan silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

Kompleks yang lokasinya sudah dikenal pasti di tengah-tengah ibu negara itu dilihat sebagai kesinambungan terbaik selepas  Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf silat sebagai warisan negara pada 2019.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang disahkan menduduki kerusi nombor satu badan induk itu baru-baru ini, berkata langkah menggerakkan usaha tersebut akan dilakukan dengan segera.

"Silat merupakan intangible cultural heritage (warisan budaya tidak ketara) milik Malaysia, jadi sebab itu kalau kita ingin memastikan supaya ini (pengiktirafan) dapat dipertahankan kita mesti ada satu simbol.

"Maksudnya, kita perlukan satu tempat supaya orang (pelancong) yang datang untuk melihat silat, Malaysia ada tempat untuk mereka saksikan apa itu seni silat sebenarnya, kerana itu pembinaan kompleks amat penting untuk memperlihatkan inilah mercu tanda silat negara," katanya kepada Bernama.

Pembinaan Kompleks Silat Negara yang tertangguh itu merupakan antara tindakan segera bakal diambil dan misi utama Megat Zulkarnain yang dipilih sebulat suara oleh 20 ahli gabungan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pesaka, Ahad lepas.

Jelasnya, selepas pelbagai pengiktirafan diberikan terhadap seni mempertahankan diri masyarakat Melayu itu, hanya dengan pembinaan Kompleks Silat Negara akan melengkapkan impian setiap daripada anak silat di seluruh negara untuk memiliki 'gelanggang silat' yang boleh dibanggakan.

"Jangan hanya bagi pengiktirafan tetapi tidak bagi apa-apa, kita tidak minta duit cuma minta supaya proses pembinaan itu dijalankan dengan cepat. Paling penting, mercu tanda silat dapat kita angkat sesuai dengan pengiktirafan yang diberikan," katanya.

Pada 2019, mesyuarat jawatankuasa UNESCO di Bogota, Colombia yang dihadiri 24 ahli negara anggota terpilih mengiktiraf silat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan ketiga Malaysia selepas mak yong (2008) dan dondang sayang pada 2018.

Sebagai rekod, di Indonesia sebuah kompleks - Padepokan Pencak Silat TMII (Taman Mini Indonesia Indah) menjadi lokasi kepada pelbagai penganjuran acara pencak silat di negara itu, selain disebabkan keluasannya ia dipilih menjadi venue bagi acara pencak silat temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan