AM

PGA9 rampas peralatan vape bernilai RM310,000 di Tanah Merah

12/04/2021 01:31 PM

KOTA BHARU, 12 April -- Batalion ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9)  merampas pelbagai jenis peralatan dan cecair vape bernilai RM310,360 yang ditemukan di dalam semak di pangkalan haram Awang Bunga dekat Kampung Limau Purut, Tanah Merah, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata bertindak hasil maklumat awam, pihaknya melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada 6 pagi semalam sebelum menemukan puluhan kotak yang disembunyikan di tebing Sungai Golok.

"Pemeriksaan mendapati kotak-kotak terbabit mengandungi 809 peralatan menghisap vape dan 2,780 botol cecair vape yang disyaki akan diseludup ke Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peralatan menghisap vape akan diserahkan kepada Jabatan Kastam sementara cecair vape pula akan diserah kepada Kementerian Kesihatan. 

PGA9 akan terus meningkatkan kawalan bagi memerangi jenayah rentas sempadan dan kerjasama orang ramai amatlah dialu-alukan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan