SUKAN

GP Malaysia: Atlet Johor cipta kejutan ungguli 100m lelaki

10/04/2021 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 April -- Atlet Johor Muhammad Arsyad Md Saat mencipta kejutan apabila mengungguli acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Muhammad Arsyad mencatatkan larian 10.64 saat (s) untuk menewaskan atlet kebangsaan dari Sarawak Jonathan Nyepa yang berada di tempat kedua (10.70s) manakala Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak pula berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 10.85s.

Atlet berusia 18 tahun yang gembira dengan kemenangannya itu turut teruja apabila dapat memperbaharui rekod peribadi iaitu 10.70s yang dicatat semasa Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia pada 2019.

“Jurulatih sayapun gembira namun beliau memberitahu masih banyak lagi perlu diperbaiki khususnya pada peringkat permulaan dan teknik larian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anak buah jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim yang pernah membimbing pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Khairul Hafiz Jantan itu turut mengimpikan untuk tersenarai dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada 21 Nov hingga 2 Dis ini.

Sementara itu, Azreen Nabila Alias muncul juara 100m wanita dengan catatan 12.00s diikuti Komalam Shally dari Perak (12.01s) manakala tempat ketiga diraih atlet Johor Siti Fatimah Mohamad (12.12s).

Kejohanan GP Malaysia akan bersambung dan berakhir esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan