BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM

BookDoc sasar tingkat kesedaran gaya hidup sihat melalui kerjasama dengan empat NGO

10/04/2021 09:19 AM

KUALA LUMPUR, 10 April  -- Platform penjagaan kesihatan dalam talian, BookDoc bekerjasama dengan empat badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul dana dan mempromosi gaya hidup sihat melalui pelbagai kempen promosi kesihatan.

Empat NGO berkenaan adalah Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM) dan myHarapan-Youth Trust Foundation.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc Datuk Chevy Beh dalam kenyataan hari ini berkata melalui inisiatif tanggungjawab sosial (CSR), BookDoc berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya teknologi digital dalam memudahkan akses kepada penjagaan kesihatan.

“Sebagai inisiatif CSR BookDoc, kami menjalankan kempen amal yang mana sebahagian daripada hasilnya akan disumbangkan kepada NGO terlibat. BookDoc amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan NASOM, MVM, NASAM dan myHarapan,” katanya.

Dengan mengucapkan terima kasih kepada BookDoc, keempat-empat NGO terbabit berharap agar kempen ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai gaya hidup sihat.

“NASAM sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan BookDoc dalam meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan dan pengurangan strok melalui platform telekesihatan BookDoc. Kami sangat menghargai inisiatif CSR yang ditawarkan oleh BookDoc, dan dengan pelancaran inisiatif ini, kami ingin memberi kesedaran bahawa pemulihan awal berpotensi mengurangkan kebergantungan jangka panjang bagi mangsa strok,” kata Ketua Rehab NASAM Tracy Chan dalam kenyataan sama.

Dalam pada itu, Pengerusi NASOM Julian Wong berharap dapat mencapai setiap rakyat Malaysia yang tinggal di bandar mahupun kawasan luar bandar, dalam meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai Autism Spectrum Disorder (ASD) dan menggalakkan penerimaan orang ramai terhadap spektrum sebagai ahli masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MVM Mohd Fauzan Abdul Sukor berkata kerjasama itu bukan sahaja menolong mereka yang memerlukan untuk mendapatkan bantuan penjagaan kesihatan bersesuaian secara berkesan, tetapi juga menjadikan setiap orang sebagai penderma melalui sumbangan menerusi BookDoc yang akan menyokong projek amal MVM pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan Nurfarini Daing berharap kerjasama ini dapat  memenuhi keperluan dalam masyarakat dan membantu melindungi kesihatan awam, sejajar dengan wawasan dunia yang lebih lestari, kerana inisiatif ini membantu meningkatkan kesedaran tentang bagaimana teknologi menjadikan kehidupan lebih baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan