AM

Ramadan: Johor benarkan solat tarawih, aktiviti pengimarahan di masjid, surau

08/04/2021 05:45 PM

JOHOR BAHRU, 8 April -- Kerajaan negeri Johor membenarkan program ihya' Ramadan yang merangkumi solat tarawih serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di seluruh negeri itu, dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelaksanaan program ihya' Ramadan yang berkuat kuasa 1 Ramadan itu, perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAINJ, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pelaksanaan solat tarawih diberi keutamaan kepada jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas. Kapasiti para jemaah di dalam masjid dan surau juga tidak mempunyai had, namun jemaah perlu mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat diikuti solat witir sebanyak tiga rakaat. Imam bertugas hendaklah membaca surah-surah lazim sahaja pada setiap rakaat, selepas bacaan surah al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, bagi program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid dan surau, manakala majlis khatam al-Quran pula dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam 30 minit.

“Program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam, bagaimanapun kuliah sebelum atau selepas tarawih tidak dibenarkan.

“Majlis qiamulail adalah dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu Subuh. Namun, jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam di dalam masjid dan surau,” menurut kenyataan itu.

Majlis berbuka puasa, sahur dan moreh di dalam masjid serta surau turut dibenarkan untuk dilaksanakan di kawasan dikhususkan, dengan juadah dibungkus manakala aktiviti buffet atau layan diri tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, menurutnya bagi majlis-majlis tertentu jamuan secara berhidang dibenarkan untuk 50 jemaah sahaja di ruang yang ditetapkan.

“Program agihan bubur lambuk dalam kawasan masjid dan surau turut dibenarkan, namun kegiatan masak memasak dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan,” jelasnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan