BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KOTA BHARU, 7 April -- Lima pondok di Madrasah Diniah Bakriah atau lebih dikenali dengan Pondok Pasir Tumboh di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira 2.30 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh El Taraff Mohd Zachariah berkata lima pelajar yang berada di unit kediaman itu sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.43 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian sebelum berjaya memadam kebakaran pada 4.20 pagi.
"Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Unit Forensik Bomba juga telah ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui Mohd Danish Adnan, 14, berkata ketika kejadian dia sedang membasuh pakaian di bilik air berhampiran kediamannya.
Katanya, sebaik kembali ke pondok yang didudukinya, dia mendapati unit kediamannya sudah terbakar manakala rakan-rakan yang lain sudah keluar menyelamatkan diri.
"Semua barangan peribadi milik saya turut musnah kerana api begitu cepat merebak ditambah lagi dengan tong gas yang turut terbakar," kata pelajar berasal dari Tenom, Sabah.
Difahamkan, pada 17 Jun 2016, sebuah bangunan dua tingkat asrama Madrasah Diniah Bakriah musnah dalam kebakaran ketika para pelajarnya baharu selesai menunaikan solat asar di Masjid Terusan Limbat yang terletak di kawasan berhampiran.
Manakala pada 22 Julai 2016, dua buah rumah kediaman di madrasah berkenaan turut musnah terbakar.
Pondok Pasir Tumboh yang ditubuhkan pada 1954 itu adalah satu daripada pusat pengajian Islam tradisional yang terbesar dan terkenal di Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial