DUNIA

Iran, Malaysia mahu perluas kerjasama dua hala

07/04/2021 12:51 PM

TEHRAN, 7 April  -- Iran bersedia untuk memperluas hubungan dua hala yang lebih komprehensif dan meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang, kata Timbalan Menteri Luar untuk ekonomi, Rasoul Mohajer.

Agensi Berita Iran (IRNA) pada Selasa melaporkan Mohajer berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaafar yang mengadakan lawatan kerja sehari ke republik itu.

Berdasarkan kepada hubungan dua hala kedua-dua negara selama ini, Mohajer mengumumkan kesediaan Iran untuk memperluas lagi hubungan komprehensif dan kerjasama dengan Malaysia.

Beliau turut meminta kerajaan Malaysia membantu mempermudah interaksi komersial dan perniagaan antara sektor swasta dan awam kedua-dua negara.

Timbalan menteri luar Iran itu turut mengulas mengenai ahli perniagaan, individu berpendidikan dan juga golongan elit Iran yang berjaya di Malaysia.

Namun, katanya beberapa isu yang dihadapi di Malaysia termasuk urusan perbankan, kewangan, konsular, kehakiman dan pertukaran pesalah perlu ditangani. 

Sementara itu, Kamarudin menyatakan tujuan utama lawatannya adalah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala terutama dalam bidang komersial dan ekonomi.

Sebelum ke Iran, Kamarudin turut melawat Turki dan Qatar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan