SUKAN

KBS minta pertimbangan untuk hampir 151 jenis sukan

17/02/2021 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membawa cadangan untuk pertimbangan meliputi hampir 151 jenis sukan lagi merangkumi acara ‘indoor’, ‘outdoor’ dan sukan dalam air diberi kelonggaran.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi catatan Facebooknya hari ini berkata pasukan KBS telah membuat penelitian dan akan mencadangkan lebih banyak aktiviti sukan khususnya yang tidak melibatkan sentuhan fizikal, dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Beliau berkata beberapa negeri yang akan bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat akan membawa lebih banyak kelonggaran sektor sukan, termasuk penganjuran kejohanan dan aktiviti yang boleh merancakkan lagi industri sukan.

“Insya-Allah, KBS akan terus berusaha meyakinkan kerajaan untuk membuka lebih banyak sektor sukan secara selamat dan berfasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Usaha memerangi pandemik COVID-19 perlu diteruskan dan kita sama-sama harus memainkan peranan dalam komuniti sukan untuk mengimbangi antara kesejahteraan hidup dengan kelangsungan ekonomi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa di kawasan PKP yang masih berkuat kuasa iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ketika ini, hanya 10 jenis sukan dibenarkan secara terhad dan dalam kawalan seperti diumumkan minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan