BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
KUALA LUMPUR, 10 Julai -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memutuskan beliau serta lima lagi Ahli Parlimen kekal bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk berada di blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.
Menurut kenyataan bersama dengan lima Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) hari ini, Dr Mahathir menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.
Dr Mahathir turut mengulangi pendiriannya kekal menyokong Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.
Katanya walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri namun keputusan itu tidak melibatkan beliau dan rakan-rakannya dan Warisan.
"Kami masih lagi berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25 Jun lepas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih berpegang kepada cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang mencadangkan Shafie sebagai calon Perdana Menteri, manakala Anwar dan Mukhriz masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II (pada mesyuarat 25 Jun).
Dr Mahathir berpandangan bahawa pencalonan Shafie sebagai perdana menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil demi meningkatkan hubungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial