AM

JKN nafi kes novel koronavirus di Perlis

01/02/2020 12:05 AM

KANGAR, 31 Jan -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menafikan berita tular di media sosial kes pertama 2019 novel koronavirus dikesan di negeri ini, kononnya di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, hari ini.

Pengarahnya, Dr Sirajuddin Hashim berkata seorang wanita berumur 69 tahun berasal dari Hong Kong dikesan demam ketika saringan di pintu masuk negara di Padang Besar, kira-kira 11.45 pagi tadi,

Beliau kemudian dibawa ke bilik isolasi Klinik Kesihatan Padang Besar untuk pemeriksaan lanjut, dan didapati bebas jangkitan virus tersebut.

"Wanita itu tidak mempunyai rekod perjalanan ke Wuhan, China. Berdasarkan maklumat lengkap sejarah perjalanan, penilaian risiko jangkitan dan pemeriksaan perubatan ke atas wanita tersebut, pasukan pakar perubatan mendapati beliau tidak memenuhi definisi kes Person Under Investigation (PUI) koronavirus, dan bebas jangkitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Sirajuddin berkata wanita itu telah diberi pendidikan kesihatan dan dibekalkan dengan 'Home Assessment Tool’ serta ‘Health Alert Card' sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

Beliau berkata pihaknya melalui Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu dan akan memaklumkan perkembangan terkini situasi jangkitan koronavirus dari semasa ke semasa.

Beliau menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan