AM

Melaka lancar aplikasi pelancongan 'Melaka eXcess'

14/01/2020 05:45 PM

MELAKA, 14 Jan -- Melaka akan melancarkan satu aplikasi pelancongan rasmi negeri, ‘Melaka eXcess' pada Mac ini sebagai usaha untuk memacu industri pelancongan ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang. 

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata aplikasi itu akan menyediakan maklumat lengkap berhubung destinasi pelancongan, tempat makanan dan minuman menarik, kedai cenderahati, promosi dan diskaun yang ditawarkan bagi menarik kedatangan pelancong dan memudahkan akses mereka sepanjang berada di negeri ini. 

Selain itu, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta, Pilihan Lampiran Swasta Sdn Bhd turut berfungsi sebagai e-dompet, sistem navigasi serta ulasan pengguna berkaitan industri pelancongan Melaka.

"Melaka eXcess akan menghimpunkan pemain industri pelancongan negeri dalam pelbagai sektor termasuk agensi pelancongan dan usahawan bagi menawarkan perkhidmatan, produk atau pakej pelancongan mereka.

"Pembangunan aplikasi itu kini di peringkat akhir dan pendaftaran masih dibuka untuk pemain industri pelancongan yang berminat," katanya kepada pemberita selepas Sesi Ramah Mesra Tahun Melawat Malaysia 2020 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata 'Melaka eXcess' dibangunkan seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan pemilihan Melaka sebagai satu daripada negeri yang terpilih bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020).

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 185 acara pelancongan akan dianjurkan di Melaka sempena VM 2020 dan 15 daripadanya adalah acara pelancongan utama.

"Kita di peringkat kerajaan negeri dan pemain industri pelancongan telah bersedia daripada pelbagai aspek antaranya menambah baik fasiliti pelancongan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelancong bagi menyokong kerajaan menyemarkkan VM 2020," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan