AM

Nahas lebuhraya PLUS: Mangsa kelima meninggal dunia

11/01/2020 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan -- Pemandu kereta Proton Satria yang terlibat dalam nahas di Kilometer 448, Lebuhraya Utara Selatan, dekat Sungai Buloh pada Jumaat, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi Bernama mengesahkan mangsa, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu pada 1.46 petang tadi.

Ia menjadikan keseluruhan lima mangsa maut dalam nahas yang membabitkan isteri Mohamad Taslim, Ain Fazira Mohd Yazid, 25; anaknya, Nur Tiara Arisha, sembilan bulan; ibunya Ruzi Osman, 54, dan neneknya, Asiah Mat, 74.

Dalam nahas kira-kira 12 tengah malam itu, kereta Proton Satria yang dinaiki kesemua mereka dikatakan berhenti di atas jalan dipercayai akibat rosak sebelum sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi ASX yang datang dari arah sama, tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang kereta mangsa.

Rempuhan mengakibatkan Proton Satria itu berpusing sehingga menyebabkan ada mangsa terpelanting keluar daripada kenderaan itu.

Asiah dan Ain Fazira maut di tempat kejadian manakala Ruzi dan bayi perempuan itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan