Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 32m ago ]

Perjanjian perdagangan Amerika Utara sahaja tak mampu pacu pertumbuhan ekonomi Mexico - badan pemikir

Tarikh kemaskini: 16/12/2019
BANDAR MEXICO, 16 Dis -- Perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara sahaja tidak akan mampu memacu pertumbuhan ekonomi di Mexico, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sebuah badan pemikir sektor swasta pada Ahad.

Mexico perlu mengambil langkah tambahan iaitu memodenkan sektor produktifnya, menurut Pusat Kajian Ekonomi Sektor Swasta (CEESP) dalam laporan mingguan badan itu.

"Sebaik sahaja berkuat kuasa, perjanjian itu dijangka memberi impak ketara ke atas pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan," kata pusat itu merujuk kepada Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).

"USMCA adalah faktor yang diperlukan (bagi pertumbuhan), namun ia tidak cukup untuk mencapai semua objektif itu," menurut pusat itu, yang merupakan sebahagian daripada Majlis Penyelarasan Perniagaan (CCE).

"Faktor lain diperlukan untuk membawa pemodenan ekonomi agar peluang yang muncul daripada perjanjian perdagangan bebas itu dapat dimanfaatkan," menurut pusat itu.

Mexico perlu mengambil langkah untuk merangsang produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran, kata CEESP.

Selain itu, sektor pertanian perlu dimodenkan untuk meningkatkan kecekapan agar mampu bersaing dalam skala besar, menurut laporan tersebut.

Pada 2018, Mexico, ekonomi kedua terbesar Amerika Latin selepas Brazil, menyaksikan pertumbuhan sebanyak 2.1 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu