Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 23m ago ]

Banjir: Jumlah mangsa di Johor dan Rompin meningkat

Tarikh kemaskini: 16/12/2019
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Keadaan banjir di sembilan daerah di Johor pada keseluruhannya bertahan dengan lebih 9,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri itu.

Kecuali Tangkak, sembilan daerah yang terjejas ialah Mersing; Kota Tinggi; Kluang; Segamat; Pontian; Batu Pahat; Kulai; Johor Bahru; dan Muar.

Setakat 8 pagi ini bilangan mangsa yang dipindahkan ialah 9,151 orang. Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 9,043 orang pada 9.30 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa adalah dari 2,475 keluarga itu ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kluang setakat ini mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 2,666 orang daripada 747 keluarga diikuti Kota Tinggi iaitu 2,659 orang daripada 695 keluarga,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca bahaya di daerah Mersing dan Kota Tinggi dan amaran cuaca buruk di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak.

Jalan Kampung Mawai Lama dan Jalan Dalam dekat Kota Tinggi, ditutup untuk kesemua kenderaan manakala Jalan Telok Arong di Mersing, dibuka satu laluan untuk kenderaan ringan sahaja.

Di PAHANG, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan keadaan banjir di Rompin semakin buruk dengan 1,003 orang daripada 256 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara pagi ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7 pagi tadi, melaporkan jumlah itu bertambah berbanding 858 orang daripada 232 keluarga yang ditempatkan di PPS pada malam tadi.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu mencatat bilangan mangsa paling ramai iaitu 284 orang daripada 81 keluarga; SK Sarang Tiong (208 orang, 44 keluarga); PPS Kampung Setajam (187 orang, 51 keluarga); Balai Raya Rekoh (119 orang, 32 keluarga); dan Dewan Angkat Berat Rompin (44 orang, 11 keluarga).

Paras air Sungai Pukin di daerah itu juga setakat pagi ini melebihi paras wasapada dengan bacaan terkini 44.06 meter (paras waspada 44 meter) dengan hujan diramal sepanjang hari ini.

Di SARAWAK, seramai sembilan orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Suarah, Marudi di Miri apabila rumah mereka di Kampung Padang Kerbau dinaiki air berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi.

Sementara itu di MELAKA, banjir pulih sepenuhnya dan 13 orang dari tiga keluarga yang dipindahkan di Alor Gajah dekat sini semalam, dibenarkan pulang ke rumah mereka pukul 9 pagi ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata sehubungan itu pusat pemindahan di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Bukit Balai, ditutup.

Cuaca di Melaka pagi ini cerah.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu