Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 19m ago ]

Pengangkutan : Kerajaan berada di landasan dalam meningkatkan ekonomi dan mobiliti rakyat

Tarikh kemaskini: 16/12/2019
Laporan eksklusif oleh Azizul Ahmad & Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pemulihan semula ke atas projek rel yang terhenti, dasar pengangkutan negara dan kesediaan untuk penerimaan ekonomi gig dalam sektor pengangkutan menjadi bukti kepada komitmen kerajaan bagi memperbaiki mobiliti rakyat serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 640km yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kota Bharu adalah antara projek keretapi yang menerima kelulusan kerajaan selepas ia digantung untuk rundingan semula.

Melalui proses rundingan semula yang agak mencabar, kerajaan telah berjaya mengurangkan kos kepada RM44 bilion, 34 peratus lebih rendah berbanding dengan RM65.5 bilion sebelum ini.

Menurut firma penyelidikan, pemulihan semula ECRL telah meningkatkan keyakinan pelabur asing dan projek seperti ini dijangka menyumbang sebanyak 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Suntikan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara dijangka bermula dari peringkat awal ECRL sehingga ia siap pada Disember 2026.

Baru-baru ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan rakan kongsinya dari China, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mengumumkan mereka akan mengadakan kempen penawaran pekerjaan untuk projek tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai 70 peratus peluang pekerjaan yang diperuntukkan kepada rakyat tempatan daripada 23,000 tenaga pekerja keseluruhan.

ECRL turut memberi faedah kepada peneraju pembinaan dengan mewujudkan kesan limpahan kepada operator pelabuhan dan berpotensi membuka koridor untuk pembangunan hartanah.

Projek ini sedang berjalan lancar pada tahap 12.86 peratus berbanding 10.18 peratus pada Jun 2019, ia dizahirkan bagi meningkatkan pergerakan rakyat dan kargo.

Selepas siap menjelang Disember 2026, ECRL akan mengurangkan masa perjalanan di antara Kota Bharu dan pusat pentadbiran, Putrajaya kepada hanya empat jam.

Selain ECRL, projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) juga telah disambung semula berikutan langkah kerajaan untuk menjimatkan kos projek.

Kos pembinaan LRT3 dan MRT2 telah diturunkan, masing-masing kepada RM16.63 bilion dan RM 30.53 bilion daripada RM31.65 bilion dan RM39.35 bilion, manakala perbelanjaan KVDT2 dijimatkan kepada RM4.475 bilion daripada RM5.26 bilion.

LRT3 dengan kepanjangan 37.6km, dibina bagi menyambung penempatan utama di Bandar Utama dengan Johan Setia di Klang. Kemajuan projek ini telah mencapai 10 peratus dan diramalkan siap menjelang Februari 2024.

Sementara itu, MRT2 yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) adalah 65 peratus siap setakat Julai 2019.

Fasa 1 projek yang menghubungkan Stesen Sungai Buloh ke Stesen Kampung Batu dijadualkan untuk memulakan operasi pada Julai 2021, manakala Fasa 2 akan bermula dalam Julai 2022.

Laluan SSP sejauh 52.5km yang merangkumi trek bertingkat sejauh 38.7km dan terowong bawah tanah sepanjang 13.5km akan mempunyai 35 stesen, di mana 24 daripadanya terletak di permukaan, manakala, 11 lagi merupakan stesen bawah tanah.

Walaupun kos untuk projek ini telah dikurangkan, kerajaan tetap memberi jaminan bahawa kualiti komponen projek rel, keselesaan dan keselamatan penumpang tetap akan dikekalkan.

MRT yang menghubungkan rangkaian kereta api bandar Kuala Lumpur sedia ada sepanjang 285km merangkumi LRT, Monorel dan Komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sudah pasti akan meningkatkan kelancaran perjalanan rakyat.

Sementara itu, projek KVDT2 yang melibatkan penggantian trek lama berusia 25 tahun sedia ada, sistem bekalan elektrik, menaik taraf dan penyelenggaraan landasan keretapi sepanjang 265km dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Simpang Pelabuhan Klang berhampiran Mid Valley ke Pelabuhan Klang, dijadualkan siap pada September 2026.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke , rel KVDT2 sudah terlalu lama dan ianya tidak lagi ekonomik untuk dikekalkan, oleh itu ia memerlukan usaha naik taraf yang segera bagi memastikan kualiti dan keselamatan perkhidmatan kereta api terutamanya untuk Komuter KTM serta perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS)

Projek tersebut dijalankan oleh Syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd dan lebih daripada 30 peratus dalam kerja-kerja persediaan telah disempurnakan.

Pemulihan trek akan dilakukan melalui 60 peringkat turutan bagi meminimumkan gangguan ke atas operasi KTMB.

Bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) sepanjang 192km, laporan telah mencadangkan bahawa ia berjalan lebih awal daripada jadual dan akan siap menjelang Oktober 2021 sebelum memulakan operasi pada 2022.

Projek bernilai RM8.9 bilion yang dibina di bawah Kementerian Pengangkutan akan melalui Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.

Komitmen kerajaan dalam menghidupkan semula serta menyokong projek ini disambut baik memandangkan pengangkutan kereta api akan terus kekal relevan seperti yang ditunjukkan di negara-negara maju sebagai antara bentuk perhubungan yang paling mampan, sama ada dari segi penggunaan tenaga atau pelepasan karbon dioksida.

Disebabkan kereta api dan projek pengangkutan awam telah membantu dalam mengurangkan aliran trafik di jalan raya, kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif dalam Bajet 2020 bagi terus mendorong alternatif ini.

Antaranya membabitkan perbelanjaan sejumlah RM450 juta untuk membeli sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz, yang akan digunakan di bandar-bandar tertentu.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM146 juta sebagai subsidi kepada pengendali bas di kawasan luar bandar dan bandar untuk sambungan batuan terakhir, selain daripada meneruskan projek Sistem Transit Cepat antara Johor Bahru dan Singapura bagi mengurangkan lagi kesesakan di Tambak Johor. Tahun ini juga menyaksikan pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

DPN mecarta hala tuju baharu dalam membangunkan sistem pengangkutan yang cekap, bersepadu dan selamat yang akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta menyokong kesejahteraan rakyat selaras dengan status sebagai negara maju.

Dasar, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, terdiri daripada lima teras dan 23 strategi khusus dalam menyediakan sistem pengangkutan yang pintar, sambungan yang mudah dan selamat, selaras dengan keperluan rakyat.

DPN 2019-2030 akan melonjakkan negara dalam bidang logistik dengan penambahbaikan dalam sektor jalan raya, landasan keretapi, udara dan maritim serta hubungan mereka dalam membantu Malaysia merealisasikan sasarannya sebagai Hab Pengedaran Serantau.

Melalui ucapannya dalam buku dasar, Dr Mahathir berkata, DPN 2019-2030 dibangunkan untuk meletakkan teras dasar dan strategi bagi meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia.

Ia juga menyediakan kesan sosial yang jelas terutamanya berhubung dengan inklusiviti dan kebolehcapaian sambil mengurangkan kesan negatif sistem pengangkutan ke atas alam sekitar.

Sementara itu, perkhidmatan e-panggilan di Malaysia telah memeterai fasa terkawal dengan peraturan baharu yang berkuatkuasa pada 12 Okt 2019, yang mana, syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut perlu memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan dan keperluan yang berkaitan.

Di bawah peraturan baharu, kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-panggilan diwajibkan memiliki lesen kenderaan perkhidmatan penumpang (PSV) untuk pemandu, insurans penumpang, pelekat e-panggilan dan permit kenderaan e-panggilan (eVP) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pada awal Disember tahun ini, sejumlah 91,978 pemandu e-panggilan telah berjaya memperolehi lesen PSV mereka sejak ia diperkenalkan pada 1 April 2019.

Selain Grab dan MyCar, terdapat 40 syarikat e-panggilan lain yang diberi kebenaran untuk beroperasi di negara ini.

Pada tahun hadapan, wujud syarikat e-panggilan motosikal atau teksi motosikal seperti Gojek, GrabBike dan pemula niaga tempatan, Dego Ride akan memulakan perkhidmatan perintis selama enam bulan mulai Januari.

Pengenalan konsep baharu ini agak menarik kerana ia dijangka akan mengubah lagi senario pengangkutan bandar.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu