True Bangkok United juara edisi sulung SAC 2020 [ 6h ago ]

Undang-undang kewarganegaraan berdasarkan agama, MP India bertikam lidah

Tarikh kemaskini: 09/12/2019
Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 9 Dis -- Parlimen India pada Isnin menyaksikan satu pertikaman lidah yang sengit antara penyokong dan penentang satu undang-undang yang mencadangkan agar kewarganegaraan negara itu diberi berdasarkan agama.

Rang undang-undang itu, yang dibentangkan di Lok Sabha oleh kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP), mengusulkan agar kewarganegaraan diberikan kepada pelarian bukan Islam dari Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan.

Anggota parti pembangkang mengutuk langkah itu dan berkata kerajaan nasionalis Hindu melanggar dasar-dasar perlembagaan India selain hak-hak asasi manusia.

"Ini adalah satu perundangan regresif dan hanya menyasarkan golongan minoriti di negara kita," kata pemimpin Kongres Adhir Ranjan Chowdhury.

Setiausaha Agung Liga Persatuan Muslim India (IUML) P.K. Kunhalikutty menyuarakan bantahan dan berkata rang undang-undang itu "benar-benar bercanggah dengan" perlembagaan.

Presiden All India Majlis-e-Ittehad-ul Muslimeen (AIMIM) Asaduddin Owaisi pula berkata undang-undang itu adalah "bersifat sembarangan" dan membandingkannya dengan akta kewarganegaraan Israel, yang mengundang bantahan daripada anggota parlimen BJP.

Menteri Dalam Negeri Amit Shah menegaskan bahawa rang undang-undang itu tidak mendiskriminasi orang Islam sebaliknya memberikan taraf kewarganegaraan kepada golongan minoriti yang berdepan "penganiayaan agama" di negara-negara jiran.

"Rang undang-undang ini tidak melanggar mana-mana perkara dalam perlembagaan," kata Shah.

Rang Undang-Undang Pindaan Kewarganegaraan 2019 akan mengubah undang-undang sedia ada yang melarang pemberian kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

Oleh kerana BJP dan sekutunya memiliki majoriti besar di dewan itu, 293 anggota parlimen mengundi menyokong manakala 80 lagi menentang pembentangan rang undang-undang tersebut.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu