KUALA LUMPUR, 9 Dis -- Muhammed Yusoff Rawther hari ini hadir memberi keterangan di Bukit Aman susulan dakwaan dirinya dicabul Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau berkata Muhammed Yusoff, bekas pegawai penyelidik kepada Anwar, memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Tinjauan Bernama mendapati, Muhammed Yusoff dilihat tiba di Bukit Aman sekitar 12.45 tengah hari tadi dan sehingga berita ini ditulis, Muhammed Yusoff masih belum selesai memberikan keterangan di Bukit Aman.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap Anwar.
Dalam laporan yang sama, Muhammed Yusoff turut melahirkan kebimbangan dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.
Rabu lepas, Muhammed Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar 2 Okt tahun lepas, bagaimanapun, perkara itu dinafikan Presiden PKR itu yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada tarikh berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial