Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 31m ago ]

Kongres PKR 2019 lancar

Tarikh kemaskini: 07/12/2019
MELAKA, 6 Dis -- Kongres Nasional PKR ke-20 di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MICT) yang berjalan lancar hari ini, menyaksikan satu lagi peristiwa signifikan apabila Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dasar buat kali pertama sebagai presiden parti.

Di pentas keramat itu, beliau memulakan ucapannya dengan menzahirkan penghargaan kepada bekas presiden yang juga isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengemudi parti itu selama dua dekad lepas.

Anwar bagi pihak rakan-rakan pimpinan dan perwakilan parti amat menyanjungi jasa, kerja keras dan kecekalan Dr Wan Azizah yang memimpin parti sehingga berjaya menempah 50 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) tahun lepas dan menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini.

"Ini adalah kali pertama saya berbicara dalam kongres selaku Presiden, maka sewajarnya saya berikan penghargaan kepada bekas Presiden (Dr Wan Azizah Wan Ismail).

"Seorang wanita, sosok kerdil dan sederhana tetapi berjiwa kental mengemudi bahtera parti sepanjang dua dasawarsa (dekad) lalu," katanya dalam ucapan dasar dan sekali gus merasmikan kongres bertema ‘20 Tahun Keadilan: Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’, di sini.

Dr Wan Azizah yang digelar Ibu Reformasi itu memimpin parti yang awalnya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional pada sekitar tahun 1999.

Jasa Dr Wan Azizah yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri itu terus diangkat menerusi pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Penasihat parti berkenaan pada Kongres Nasional PKR ke-13, di Shah Alam tahun lepas.

Dalam pada itu, Anwar turut memohon maaf kepada ahli PKR dan rakyat berikutan kekecohan yang berlaku pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam.

Presiden PKR itu bagaimanapun meminta ahli PKR tidak terburu-buru membuat kesimpulan.

“Polis sedang menyiasat dan buatlah keputusan berdasarkan siasatan polis,” katanya merujuk kepada beberapa siri kekecohan yang menyebabkan dua cedera termasuk seorang terkena balingan batu.

Turut mencuri perhatian kira-kira 3,000 anggota perwakilan di dalam dewan itu, apabila Presiden itu dilihat duduk bersebelahan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sesekali dua figura utama parti dilihat bersembang.

Senario itu sekali gus menangkis pandangan sesetengah pihak bahawa parti itu sedang berdepan kemelut kepimpinan membabitkan dua tonggak parti reformasi itu.

Diselubungi aura reformasi, laungan ´reformasi´ tidak putus-putus bergema membuktikan semangat perjuangan PKR sejak 20 tahun lalu kekal utuh dan tidak sekali-kali tergugat dengan persepsi liar yang berlegar dalam parti itu sejak akhir-akhir ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu