Pasar Malam Budaya Kim Fung di Sandakan bakal jadi pasar tanpa tunai [ 13m ago ]

Satu lagi pingat emas untuk Tze Liang dalam acara terjun

Tarikh kemaskini: 07/12/2019
Ooi Tze Liang
NEW CLARK CITY (Filipina), 7 Dis -- Penerjun elit kebangsaan, Ooi Tze Liang terus mempamerkan aksi cemerlang di Pusat Akuatik New Clark City di sini, untuk meraih pingat emas ke-11 beliau dalam acara terjunan, di temasya Sukan SEA ke-30 di sini.

Penerjun berumur 26 tahun yang memperoleh pingat emas bersama dengan Chew Yiwei dalam acara terjun seirama semalam, berjaya mengumpulkan 454.60 mata selepas enam pusingan terjunan acara individu hari ini, sekaligus menyaksikan beliau berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tambah membanggakan lagi, rakan sepasukannya, Mohd Syafiq Puteh pula memperoleh pingat perak selepas berjaya mengumpulkan 402.50 mata, manakala pingat gangsa menjadi milik Mark Lee Han Ming dari Singapura.

Sebelum ini Tze Liang pernah memenangi sembilan pingat emas -- tiga dalam edisi 2013 di Myanmar, empat pada tahun 2017 (Singapura) serta dua pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dan pemenang dua pingat perak Sukan Asia itu juga itu jua pernah memenangi satu perak acara lelaki 10m platform individu semasa penampilan sulungnya dalam edisi 2011 di Indonesia.

"Secara keseluruhan prestasi saya di Sukan SEA tahun ini sekadar sederhana, selepas saya tidak membuat persiapan sewajarnya kerana mendapat mendapat panggilan di saat-saat akhir dari jurulatih untuk beraksi dalam Sukan SEA.

"Selepas tidak mengambil bahagian dalam Piala Asia 2019 Sept lepas (akibat kecederaan), saya telah meletakkan sasaran untuk membaiki terjunan sebelum ke kejohanan Piala Dunia Terjunan Fina 2020, yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya ketika ditemui wartawan selepas acaranya.

Muhd Syafiq pula terpaksa berpuashati dapat meraih pingat perak dalam acara berkenaan walaupun pernah meraih emas bersama penerjun wanita negara, Jasmine Lai Pui Yee dalam acara 3 meter papan anjal seirama pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya hanya beraksi satu acara sahaja kerana tuan rumah tidak mempertandingkan acara campuran, tetapi Alhamdulillah, saya berpuashati, terutamanya dengan catatan 402.50 yang merupakan peningkatan ketara selepas Kejohanan Terjun Grand Prix FINA 2019 di Australia, awal bulan ini," jelas penerjun berusia 24 tahun itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu