BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 POLITIK

Perjuangkan nasib rakyat, PKR satu kesatuan keadilan pelbagai kaum - Anwar

07/12/2019 08:30 PM

MELAKA, 7 Dis-- Semua pemimpin dan anggota PKR mesti bangkit memastikan parti itu kekal teguh sebagai kesatuan keadilan yang memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum, berlandaskan asas perjuangan dalam Pengisytiharan Permatang Pauh 1998, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Julung kali berucap menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden PKR hari ini, beliau berkata semangat dan cita-cita gerakan reformasi PKR, yang memilih asas keadilan untuk memperjuangkan hak dan nasib rakyat sejak penubuhannya, seharusnya bertambah utuh apatah lagi parti itu kini adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan.

Memulakan ucapan dengan laungan slogan parti ‘reformasi’, ‘lawan tetap lawan’, beliau menegaskan kejayaan PKR sebagai sebuah parti bukan bersandar kepada jumlah ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan bilangan Menteri atau Timbalan Menteri dalam kerajaan, sebaliknya kemampuan parti itu untuk membela rakyat.

"PKR merubah sistem mengorak langkah membawa perubahan, agenda reformasi berterusan, reform negara sebagai negara kukuh, reform (sebelum ini) hanya yang kaya mendapat habuan, kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

"Kita harus kekal semangat sama (bela rakyat) supaya program pembangunan tidak meremehkan nasib di kalangan miskin dan menderita daripada semua kaum di seluruh negara," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa, Ayer Keroh di sini.

Berucap di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan termasuk pemimpin utama parti dan cabang dari seluruh negara, Anwar berkata kerajaan PH mewarisi sebuah sistem 'bobrok' (menghancurkan) daripada pemerintahan terdahulu, maka PKR sebagai parti dominan pemerintah harus memastikan kerajaan semasa membela nasib rakyat pelbagai kaum jauh lebih baik dari sebelum ini.

"Negara ini mesti diselamatkan dengan pertumbuhan ekonomi lebih rancak kerana ini dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat, pertumbuhan ekonomi mendatar dahulu akibatnya kita tidak boleh tangani masalah kemiskinan, PKR perlu paling lantang dalam hal ini.

"Jawatan diperoleh (dalam kerajaan) itu tidak harus merubah sikap kita untuk membela nasib rakyat, sikap kita harus menjurus kepada kehidupan rakyat," katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada hadirin.

Anwar, yang segak berbaju Melayu biru muda warna rasmi PKR, menegaskan PKR tidak ditubuhkan atas kemahuan dirinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan presiden pertama parti mahu pun pemimpin lain seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib-Naib Presiden Tian Chua serta Datuk Dr A. Xavier Jayakumar atau Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebaliknya, kata beliau kewujudan PKR yang kini berusia 20 tahun adalah atas kemahuan semua pemimpin berbilang kaum yang menuntut reformasi pemerintahan yang lebih adil bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Anwar berkata menjamin kesejahteraan untuk rakyat pelbagai kaum, agama dan latarbelakang adalah asas agenda keadilan buat semua yang digenggam erat PKR sejak penubuhannya, sambil menegaskan semua kaum perlu saling memahami agama, cara, kehidupan dan budaya masing-masing.

"Ketika jadikan ia (PKR) parti semua kaum, ada kata tidak wajar kerana tokoh sehebat Datuk Onn Jaafar tidak mampu merangkul kekuatan semua kaum kerana masyarakat kita belum bersedia tetapi rakan reformis ketika itu menuntut reformasi terdiri semua kaum," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memperingatkan setiap anggota parti bahawa dalam PKR membawa agenda reformasi kepada sistem pentadbiran dan institusi, mereka tidak boleh sama sekali berkecamuk dengan masalah disiplin yang akan menyebabkan perpecahan.

"Perbezaan pendapat dibolehkan tetapi tidak boleh lenyapkan idealisme PKR demi rakyat. Kita kukuh berdisiplin bila tertekan. Saya akui kelemahan, apa sahaja saya perbaiki tetapi saya minta kawan-kawan faham sejarah agenda reform diteruskan, disiplin mesti ada.

"Saudara saudari kita semua satu pasukan, lawan tetap lawan... tetapi lawan jangan dengan kawan. Yang ada hanyalah semangat dan cita-cita jadi bangkitlah semua perkuatkan parti, pecahkan tembok halangan dan bangkit sebagai satu kesatuan keadilan rakyat," katanya.

Dalam nada berterus terang, Presiden PKR itu turut mengingatkan pemimpin PH mengenai tindakan segera yang perlu diambil dan lebih bijak menangani isu-isu yang menjadi kegelisahan rakyat seperti pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pengangguran siswazah, kemiskinan, ketidaksamaan pendapatan isi rumah serta pertumbuhan ekonomi.

”Rancangan Malaysia Satu hingga Kesebelas dengan dasar pembangunan nasional, dasar ekonomi baharu hasilnya masih belum memuaskan. Masalah kemiskinan masih tinggi, jurang ekonomi masih melebar… ia perlu tekad politik yang tinggi dan keberanian untuk merombak perkara ini,” katanya.

Menyentuh tentang penjawat awam, pasukan keselamatan khusus polis termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis, Anwar berkata tindakan terhadap segelintir pegawai atasan oleh kerajaan PH seharusnya tidak boleh disalah tafsir dan mempengaruhi semangat profesionalisme mereka.

Mengimbas keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang memihak kepada lawan, beliau berkata ia adalah satu peringatan terutamanya kepada semua pemimpin PH dan anggota PKR supaya tidak lalai, terlalu yakin, bermegah atau sombong terhadap mandat yang diberi rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan