Pasar Malam Budaya Kim Fung di Sandakan bakal jadi pasar tanpa tunai [ 19m ago ]

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

Tarikh kemaskini: 06/12/2019
MELAKA, 6 Dis -- Amalan meletakkan pekerja wanita di dalam kelas rendah dan tidak penting di dalam sesebuah organisasi kini tidak lagi relevan, sebaliknya hanya mewujudkan diskriminasi gender, demikian menurut perwakilan Melaka Kathy Tan Hooi Lian.

Katanya diskriminasi dan stereotaip gender merupakan penghalang utama untuk wanita berada dalam kelompok yang setaraf dengan golongan lelaki.

“Pihak majikan yang didominasi kaum lelaki mempunyai kebiasaan mempraktikkan stereotaip gender dalam sesuatu sektor pekerjaan, sekali gus mengurangkan peluang wanita untuk kenaikan pangkat atau memanjat tangga kerjaya dengan alasan bukan kebiasaan wanita dalam bidang itu.

“Konsep ‘siling kaca’ dengan menempatkan wanita dalam struktur kerja yang rendah dan tidak signifikan, tidak membantu prestasi dan produktiviti individu,” katanya semasa sesi perbahasan pada Kongres Tahunan Wanita PKR 2019 di sini hari ini.

Bercakap di hadapan kira-kira 500 perwakilan sayap itu, Kathy Tan berkata satu undang-undang khusus menghentikan diskriminasi gender di tempat kerja perlu digubal berikutan tindakan itu kini tidak boleh diterima dalam masyarakat demokratik dan ia juga bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Enakmen perundangan khusus ini diyakini dapat mengurangkan diskriminasi gender supaya mahkamah dapat mentakrif dan mendakwa untuk sabitan kesalahan dengan lebih berkesan berdasarkan akta spesifik ini,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Sabah Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din mahu PKR, yang kini menjadi kerajaan, mempertimbangkan permohonan bagi menambah peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di seluruh negara.

Dayang Rusimah, yang juga Ketua Wanita PKR Labuan, berkata ini kerana jumlah peruntukan yang diterima NGO wanita menjalankan aktiviti yang lebih berkesan, pada masa ini tidak mencukupi.

“Kita mohon agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi peruntukan lebih kepada NGO bagi memudahkan kita melaksanakan gerak kerja untuk mencapai matlamat membela nasib dan mengangkat golongan wanita terutama di kawasan luar bandar.

"Di Sabah misalnya, kita banyak menjalankan aktiviti di kawasan pedalaman dan sudah pasti ia memerlukan perbelanjaan yang besar, namun sebagai NGO kami tidak mempunyai sumber kewangan dan hanya mengharapkan sumbangan atau peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu