True Bangkok United juara edisi sulung SAC 2020 [ 6h ago ]

PGA rampas lebih satu tan daun ketum di Padang Besar

Tarikh kemaskini: 06/12/2019
PIX Ihsan PGA Ulu Kinta, Perak
PADANG BESAR, 5 Dis -- Batilion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Perak merampas lebih satu tan daun ketum dipercayai untuk diseludup ke Thailand dalam dua siri rampasan berasingan Op Wawasan Kedah/Perlis, hari ini.

Pegawai Pemerintah Medan, Martak Batalion 1 PGA, Bukit Kayu Hitam, Kedah, Supt Abd Aziz Abdullah berkata rampasan pertama pada kira-kira pukul 1.30 awal pagi dilakukan ketika pasukannya membuat rondaan dan pemerhatian ke atas sebuah pondok di kawasan ladang getah Felda Mata Ayer dekat sini.

“Pihak PGA merampas 14 guni disyaki mengandungi daun ketum seberat 510kg bernilai RM76,500 setelah hampir sejam menunggu dan tiada individu yang menuntut barang itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam rampasan kedua kira-kira pukul 9.30 pagi, katanya anggota PGA yang melakukan pemerhatian dan rondaan di kawasan kebun di Felcra Lubuk Sireh menahan sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Abd Aziz berkata susulan pemeriksaan ke atas kereta itu, pihaknya menjumpai 17 guni berisi daun ketum dengan jumlah berat keseluruhan 510kg dianggarkan bernilai RM70,500.

Beliau berkata satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dan menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu