SUKAN

Firdaus optimis Malaysia mampu tambah emas Chess Sukan SEA

04/12/2019 09:17 AM

SUBIC (Filipina), 3 Dis -- Pengurus skuad catur negara, Firdaus Ismail optimis Malaysia mampu menambah kutipan pingat emas pada baki acara catur Sukan SEA ke-30 di Filipina, susulan kejayaan cemerlang dilakar pemain muda, Yeoh Li Tian yang meraih emas dalam acara Rapid Chess Lelaki.

Yeoh, 20, yang berpangkalan di London, menghadiahkan emas pertama dari sukan catur selepas mengumpul mata tertinggi selepas berakhirnya sembilan pusingan acara berkenaan di Travelers Hotel, di sini.

Pada pusingan kesembilan hari ini, Yeoh sekadar mencatat keputusan seri 0.5 mata dengan wakil Vietnam, Nguyen Ngoc Truong Son, namun ia sudah memadai untuk beliau meraih pingat emas.

"Mungkin sandaran pingat kita letakkan kepada Nur Najiha Azman Hisham dalam acara Blitz wanita kerana beliau pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Wanita dan Remaja Asia Timur 2017 di Tagaytay City, Filipina.

"Namun segala-galanya terpulang kepada faktor nasib dan semestinya kita mengharapkan kemenangan diraih Yeoh akan menyemarakkan semangat pemain catur negara yang lain untuk melakar keputusan sama," kata Firdaus kepada Bernama, di sini, hari ini.

Selain kategori Rapid dan Blitz, satu lagi kategori iaitu ASEAN turut dipertandingkan pada Sukan SEA 2019.

Untuk rekod, sukan catur pernah dipertandingkan pada edisi 2003 di Vietnam, 2005 (Filipina), 2011 (Indonesia) dan pada  2013 di Myanmar, sebelum membuat penampilan semula pada tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan