True Bangkok United juara edisi sulung SAC 2020 [ 6h ago ]

Pemain golf terbaik ASEAN layak ke Kejohanan Maybank 2020

Tarikh kemaskini: 04/12/2019
Datuk Abdul Farid Alias
KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Juara Kejohanan Golf PGM Maybank ADT dan lima pemain golf ASEAN terbaik, melayakkan diri ke Kejohanan Golf Maybank tahun hadapan.

Tahun ini buat kali pertamanya Kejohanan Golf PGM Maybank ADT itu menjadi kejohanan untuk kelayakan bagi kategori ASEAN untuk Kejohanan Maybank.

Mengikut kenyataan penganjur, pemain terbabit telah ditawarkan untuk menyertainya di kejohanan yang diiktiraf bersama oleh Asian Tour dan European Tour selepas menamatkan kejohanan sebagai lima pemain terbaik ASEAN dan juga pemenang kejohanan Golf PGM Maybank ADT yang berlangsung dari 27 hingga 30 Nov di Saujana Golf and Country Club.

Enam pemain tersebut adalah juara PGM Maybank ADT, Nirun Sae-Ueng dari Thailand dan lima lagi pemain dari rantau Asean iaitu, Atiruj Winaicharoenchai dan Suttijet Kooratanapisan (Thailand), Choo Tze Huang dan Quincy Quek (Singapura) dan George Gandranata (Indonesia).

Sementara itu Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata kategori ASEAN yang diperkenalkan pada 2017, merupakan sebahagian daripada inisiatif dan usaha Maybank mempertingkatkan bakat rantau ini dengan menyediakan platform dan peluang pemain bertanding bersama pemain terbaik dunia.

“Dengan menyediakan tempat untuk lima pemain ASEAN pada Kejohanan Maybank akan datang, kami bukan sahaja mengiktiraf bakat yang ada, tetapi juga mengalakkan satu landskap golf ASEAN yang berkembang maju dan kompetetif.

“Dengan sokongan daripada Tours, kami berharap untuk memupuk sebuah liga juara untuk generasi masa kini dan yang akan datang. Kami juga mahu mengiktiraf pemenangan Kejohanan PGM Maybank ADT dan berikan mereka platform untuk meningkatkan karier mereka ke satu tahap baharu,” katanya.

Kejohanan Maybank merupakan kejohanan golf terbesar dan paling menarik di ASEAN dengan hadiah keseluruhan US$3 juta, yang pernah dimenangi termasuk Marcus Fraser (2016) dan Scot Hend (2019) (Australia) dan Fabrizio Zanotti dari Paraguay (2017) dan Juara Asian Tour Orde of Merit Shubhankar Sharma (2018).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu