JOHOR BAHRU, 3 Dis -- Mahkamah Sesyen di sini diberitahu bahawa bahan buangan terhasil daripada kilang pemprosesan tayar yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sg Kim Kim di Pasir Gudang pada 7 Mac lepas, adalah buangan berjadual jenis SW311 ‘enap cemar minyak’.
Ketua Penolong Pengarah Kanan di Seksyen Penilaian dan Pembangunan, Bahagian Bahan Berbahaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Ir Azlan Ahmad, 50, berkata pengelasan buangan terjadual itu dibuat melalui beberapa kaedah.
Kaedah pertama, katanya, ialah dengan melihat kepada laporan analisis yang diberikan oleh Jabatan Kimia, seterusnya melihat ciri-ciri kimia yang terkandung dalam bahan buangan, serta melihat proses bagaimana terhasilnya bahan buangan tersebut.
Beliau berkata daripada proses pemerhatian, JAS akan dapat membandingkan hasil dapatan dengan 77 kod bahan buangan terjadual yang ditetapkan di bawah Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Seterusnya saya juga akan membuat perbandingan dengan peraturan di bawah Basel Convention, Stockholm Convention, Rotterdam Convention berhubung Hazardous Wastes and Their Disposal dan juga Hazardous Chemical yang disertai Malaysia,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Syafiq Mohd Ghazali pada hari pertama perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, hari ini.
Azlan yang telah berkhidmat 25 tahun bersama JAS dan mempunyai Sarjana Sains (Pengurusan Alam Sekitar) dari Universiti Malaysia Kelantan serta Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan saksi kedua pendakwaan di dalam kes itu.
Saksi pertama kes ialah Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar JAS yang memegang gelaran sebagai Ketua Cawangan JAS Muar, Mohd Nazir Mansor, 45.
Ketika ditanya mengenai ciri kimia yang terdapat di dalam laporan analisis kimia Jabatan Kimia itu, Azlan berkata ia mengandungi ciri kimia xilena, toulena dan etilbenzena yang menjurus kepada minyak selain daripada ciri kimia d-limonene.
Bagaimanapun sewaktu disoal balas oleh peguam bela G. Subramaniam Nair yang mewakili pengarah syarikat, Wang Jing Chao dan Yap Loke Liang, dua daripada empat tertuduh dalam kes itu, Azlan berkata beliau tidak pernah secara fizikal melihat bahan kimia berkenaan.
Subramaniam: Jadi keputusan kamu untuk katakan bahan ini ‘oil sludge’‘(enap cemar minyak) dibuat tanpa penglihatan?
Azlan: Ya.
Subramaniam: Dalam laporan kimia ada tunjuk tiga bahan iaitu xilena, toulena dan etilbenzena. Selain itu, kalau lihat sampel lain, terdapat juga empat jenis pelarut organik tetapi nota (laporan) kimia kata hanya d-limonene sahaja yang kebiasaannya adalah terhasil daripada proses tayar pyrolisis? Lain-lain bahan tidak ada?
Azlan: Ya.
Pemandu lori syarikat pemprosesan tayar terpakai N. Maridass, 35, didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan menggunakan lori dan semi trailer tangki sawit, tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Tiga pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai itu pula iaitu Wang Jing Chao, 34; Yap Loke Liang,36, dan Sim Wei Der, 50, didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.
Keempat-empat mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lepas di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.
Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000 jika sabit kesalahan.
Wang, Yap dan Sim pula didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.
Selain berdepan pertuduhan itu, Wang, Yap dan Sim turut dikenakan 15 lagi pertuduhan masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.
Pertuduhan itu adalah kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti ditetapkan mengikut akta itu.
Pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq dan TPR JAS Putrajaya Nor Azura Jumuddin manakala Maridas diwakili peguam S. Ratakrishna dan Sim diwakili peguam Joshua Tay.
Perbicaraan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob bersambung Khamis.
Esok pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes berkenaan akan melawat beberapa lokasi kejadian termasuk kilang berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial