Seramai 94 pegawai pemantau Kelantan untuk kesan peniaga ingkar [ 9m ago ]

Sarawak lancarkan jejak EAT.CHIAK.MAKAN untuk pasaran Singapura

Tarikh kemaskini: 03/12/2019
Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani (lima, kiri)
Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 3 Dis -- Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) hari ini melancarkan inisiatif terbaharu iaitu EAT.CHIAK.MAKAN, yang bertujuan untuk menarik penggemar makanan Singapura ke Sarawak.

Agensi itu juga menyediakan buku kecil Jejak Makanan Sarawak khusus untuk pakej pelancongan ke negeri Malaysia Timur itu.

Buku tersebut memaparkan maklumat mengenai hidangan Sarawak dan lebih 70 tempat makan tempatan di bandar-bandar utama, bermula dengan Kuching.

Daripada hidangan popular seperti Mi Kolo dan Laksa Sarawak kepada makanan yang lebih ringkas seperti Kueh Chap dan Gong Pia, edisi Kuching bagi Jejak Makanan Sarawak ini mencadangkan lokasi yang terbaik serta berpatutan untuk mencuba setiap hidangan tempatan.

"EAT.CHIAK. MAKAN menyedari bahawa rakyat Singapura tidak boleh dipisahkan daripada minat mereka ke atas makanan dan berharap inisiatif ini akan menarik mereka untuk mencuba kepelbagaian makanan yang lazat di Sarawak," kata Pengerusi STATOS, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani semasa pelancaran kempen itu di sini.

Kempen itu dilancarkan secara rasmi pada acara ´Sarawak More to Discover´, yang bertujuan untuk mempromosi pelancongan pendidikan di Sarawak.

Katanya, Sarawak dan Singapura berkongsi hubungan kerja yang rapat, yang menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong Singapura sebanyak 4.24 peratus ke Sarawak antara Januari hingga September 2019.

"Kami mahu terus memupuk hubungan ini dengan sentiasa memperkenalkan kempen yang menarik dan unik seperti EAT. CHIAK. MAKAN yang sinonim dengan rakyat Singapura, dan berkongsi semua yang boleh ditawarkan oleh Sarawak," katanya.

Buku Jejak Makanan Kunching EAT. CHIAK. MAKAN boleh didapati melalui STATOS dan boleh dimuat turun dari laman web https://statos.com.sg/.

STATOS terus memperluaskan senarai makanan Sarawak di Kuching, termasuk jejak makanan untuk bandar-bandar lain seperti Sibu dan Miri.

Acara yang menyaksikan lebih 140 peserta dari Singapura itu dibuat dengan kerjasama membabitkan STATOS, Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Seminar mengenai produk pendidikan Sarawak atau "Edutourism", destinasi utama dan pakej sedia ada yang dibuat oleh Persatuan Agensi Perjalanan Dalam Sarawak (ASIA), telah diadakan serentak untuk menggalakkan ejen pelancongan dan sekolah-sekolah di Singapura menjadikan Sarawak sebagai destinasi yang ideal bagi lawatan kumpulan serta percutian.

STATOS telah ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai strategi untuk meneroka pasaran global, membawa lebih banyak pelaburan, menggalakkan perdagangan dan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak.

Singapura merupakan pasaran utama bagi Sarawak dan dalam lima senarai ketibaan asing utama dengan rekod 43,734 pengunjung pada 2018, merangkumi jumlah dagangan sebanyak S$1.1 trilion.

STATOS yang mempunyai kehadiran yang kukuh di Singapura, mahu meningkatkan pasaran eksport Sarawak ke Singapura, kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2021.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu