Peruntukan RM111.47 juta untuk kemajuan sukan, pembangunan belia di Sabah [ 28m ago ]

1MDB mempunyai modal terbitan RM1 bilion - Pendaftar SSM

Tarikh kemaskini: 18/11/2019
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 27 Feb 2009, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 bilion.

Penolong Pendaftar SSM Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata syarikat persendirian itu yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 848230-V turut melantik beberapa individu termasuk Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai pengarah syarikat.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam pada hari pertama perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Syarikat 1MDB yang ditubuhkan dengan nama Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) ditukarkan nama kepada 1MDB pada 25 Sept 2009 dan Arul Kanda dilantik sebagai CEO pada Jan 1, 2015.

Ketika merujuk kepada ‘written element of share', bagi TIA, saksi berkata satu juta unit saham diterbitkan dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan.

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama Setiausaha Bahagian (Perlembagaan dan Urusan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Daman Huri Nor, 55, mengesahkan jawatan yang pernah dipegang oleh Najib termasuk sebagai menteri kewangan, menteri pertahanan, menteri belia dan sukan, menteri pendidikan dan timbalan perdana menteri dari 2006 hingga 2018.

Sementara itu, Akauntan Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, Natasha Rahimah Haryati Mohamad, 47, yang merupakan saksi pendakwaan kedua menjelaskan mengenai penyata pendapatan tahunan dan penyata gaji Najib dari Januari 2006 hingga Mei 2018.

Katanya, Najib memperolehi gaji kasar sebulan RM58,605.15 dari April 2009 hingga Mei 2018 melalui akaun Bank Affin miliknya selain menerima bayaran khas RM1 juta selepas bersara sebagai perdana menteri seperti yang ditetapkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

--BERNAMA












       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu